Sunday, July 19, 2026

Najib akui pelantikan anak Dzulkefly tiada unsur nepotisme

Kenyataan itu dibuat susulan saman sivil yang difailkan oleh Ahli Parlimen Kuala Selangor itu berhubung hantaran Facebook Najib bertarikh 24 Ogos 2020.

Mesti Baca

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mengakui bahawa tiada unsur nepotisme melibatkan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berhubung pelantikan anak Menteri Kesihatan itu dalam sebuah syarikat dan agensi.

Menurut Najib, beliau menerima bahawa Dzulkefly tidak terlibat dalam pelantikan anak perempuannya, Nurul Iman sebagai Ahli Lembaga Pengarah AIM Solutions Group Bhd pada 30 April 2018 serta ke Lembaga Pemegang Amanah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) pada 1 Oktober 2018.

“Saya menerima bahawa beliau tidak terlibat dalam pelantikan-pelantikan tersebut dan bahawa tiada unsur nepotisme di pihak beliau,” katanya dalam kenyataan bertulis hari ini.

Kenyataan itu dibuat susulan saman sivil yang difailkan oleh Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor, berhubung hantaran Facebook Najib bertarikh 24 Ogos 2020 yang didakwa memberi gambaran seolah-olah berlaku amalan nepotisme.

Dalam pada itu, Najib menjelaskan, hantaran berkenaan tidak bertujuan untuk memfitnah atau menggambarkan Dzulkefly sebagai korup, sebaliknya ia dibuat dalam konteks ulasan politik umum.

Beliau berkata, hantaran tersebut diterbitkan atas kapasitinya sebagai Ahli Parlimen ketika itu bagi menonjolkan persepsi mengenai standard berganda dalam kalangan parti politik.

“Maksud sebenar dan niatnya adalah untuk berfungsi sebagai ulasan politik umum mengenai isu-isu tadbir urus, pentadbiran, dan pelantikan ke entiti berkaitan kerajaan, yang merupakan perkara perbincangan awam aktif serta perdebatan politik,” katanya.

Bagaimanapun, Najib mengakui kenyataan tersebut telah menimbulkan kesusahan kepada Dzulkefly dan keluarganya, sesuatu yang tidak pernah menjadi niat beliau.

Sehubungan itu, beliau turut menghulurkan ucapan ikhlas serta mendoakan kejayaan Dzulkefly dalam meneruskan khidmat kepada rakyat dan negara. — Edisi 9

Terkini

Exco Johor: Enam kekal portfolio, empat lantikan baharu

SERAMAI 10 Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri Johor bagi penggal 2026-2031 hari ini mengangkat sumpah jawatan masing-masing hari...

Lagi Artikel Berkaitan