KEPUTUSAN Jemaah Menteri yang meluluskan penubuhan Majlis Pengurusan Bencana Negara (MPBN) dianggap langkah penting dalam memperkukuh tadbir urus pengurusan bencana negara, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri berkata, penubuhan MPBN yang beliau lontarkan dan diperhalusi dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) terdahulu, selaras dengan hala tuju Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030, yang telah dilancarkan pada tahun 2024.
“Saya melihat keputusan ini sebagai satu langkah ke hadapan yang amat signifikan.
“Dalam dunia yang semakin tidak menentu, khususnya dengan bencana yang lebih kerap akibat perubahan iklim, pendekatan lama tidak lagi memadai.
“Kita perlu bergerak lebih pantas, lebih tersusun, dan memastikan tindakan di lapangan digerakkan tanpa kelompongan antara Persekutuan dan negeri,” katanya hari ini.
Ahmad Zahid yang juta Pengerusi JPBP berkata, MPBN akan menghimpunkan kepimpinan utama Kerajaan Persekutuan dan negeri dalam satu platform tertinggi negara.
Beliau berkata, menerusi mekanisme tersebut, keputusan akan dapat dipercepatkan manakala penyelarasan pula akan diperkuat sementara pelaksanaan di lapangan pula akan lebih tersusun.
“Saya juga ingin tekankan bahawa langkah ini akan terus memberi penekanan kepada kesiapsiagaan, pencegahan, dan pengurangan risiko bencana.
“Kita tidak boleh hanya bertindak selepas bencana berlaku tetapi perlu memastikan kita sentiasa bersedia lebih awal,” tegas beliau.
Ahmad Zahid berkata, dengan pemerkasaan peranan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta kerjasama erat semua pihak, usaha tersebut akan memperkukuh keupayaan negara dalam menghadapi cabaran bencana, demi melindungi rakyat dan kepentingan negara. — Edisi 9

