KESIAPSIAGAAN dalam menghadapi bencana tidak boleh lagi bersifat reaktif, sebaliknya perlu bergerak lebih pantas, proaktif dan terselaras seiring dengan peningkatan risiko perubahan iklim dan cuaca ekstrem.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, cabaran yang dihadapi kini bukan lagi bersifat terpencil, malah memberi kesan langsung kepada keselamatan nyawa rakyat serta kestabilan ekonomi negara.
Beliau yang juga Pengerusi Penyelaras Bencana Pusat berkata, persoalan utama yang perlu diberi perhatian adalah tahap kesiapsiagaan negara dalam berdepan sebarang kemungkinan bencana.
“Kesiapsiagaan perlu bergerak lebih pantas dan lebih terselaras. Teknologi seperti kecerdasan buatan dan sistem amaran awal mesti dimanfaatkan sepenuhnya supaya tindakan dapat dibuat dengan lebih cepat dan tepat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pameran Resilient Asia 2026 di Kuala Lumpur, malam tadi.
Tambah beliau, pemanfaatan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), analitik data raya serta sistem amaran awal perlu diperkasakan bagi membolehkan tindakan diambil secara lebih cepat dan tepat.
Dalam pada itu, katanya, kerajaan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) terus memperkukuh keupayaan pengurusan bencana dengan mengintegrasikan penggunaan data masa nyata serta teknologi seperti sistem penyiaran kecemasan Cell Broadcast System (CBS).
“Dalam masa yang sama, kita turut memperkukuh tadbir urus pengurusan bencana melalui penubuhan Majlis Pengurusan Bencana Negara (MPBN) bagi memastikan penyelarasan yang lebih menyeluruh di peringkat nasional,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Malaysia bersedia memainkan peranan lebih besar di peringkat serantau sebagai rakan strategik dan pusat rujukan dalam pengurusan bencana.
“Apabila semua pihak bergerak seiring, kita akan lebih bersedia menghadapi apa jua cabaran yang mendatang,” katanya.
Beliau yakin dengan penyelarasan yang lebih kukuh serta penggunaan teknologi moden, Malaysia mampu meningkatkan tahap kesiapsiagaan sekali gus melindungi kesejahteraan rakyat. — Edisi 9

