PENDIRIAN UMNO jelas bahawa setiap penganjuran program hiburan di negara ini mesti berlandaskan nilai, adab serta menghormati sensitiviti agama dan norma masyarakat tempatan, tegas Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau menegaskan, UMNO memandang serius pandangan yang dikemukakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan berhubung isu penganjuran program tertentu yang mencetuskan kebimbangan masyarakat.
“Pandangan ini wajar dihormati kerana ia mencerminkan kegusaran sebahagian besar rakyat Malaysia,” katanya hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri mengulas penganjuran festival muzik berkonsepkan air, Rain Rave Water Music Festival 2026.
Atas pendirian itu, Zahid berkata, UMNO menggesa agar program seumpama itu diteliti semula secara menyeluruh.
Jelas beliau, ini termasuk dari segi konsep, kandungan dan pelaksanaannya bagi memastikan ia tidak menyimpang daripada garis panduan yang ditetapkan.
Beliau turut menekankan keperluan untuk memperkemas dan memperketatkan garis panduan penganjuran program supaya selari dengan identiti negara serta kehendak masyarakat majmuk di Malaysia.
“Prinsip kita jelas: berhibur tidak salah, tetapi mesti ada batas. Kemajuan boleh diteruskan, tetapi nilai tidak boleh tergugat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyarankan agar pihak penganjur sentiasa berunding dengan pihak berkuasa berkaitan sebelum menganjurkan sebarang program bagi memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara.
Tegasnya, pendirian itu selaras dengan komitmen UMNO untuk mempertahankan nilai agama, budaya dan jati diri negara dalam setiap aspek pembangunan. — Edisi 9

