Saturday, June 20, 2026

UMNO perlu jual masa depan, bukan sejarah – Mohamad Hasan

Ulang tahun parti itu bukan sekadar medan untuk mengenang perjalanan lampau, sebaliknya menjadi detik penting untuk merencana hala tuju masa depan yang lebih jelas dan berdaya saing.

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Berkecimpung lebih 30 tahun dalam dunia kewartawanan bersama media arus perdana. Keutamaan dalam penulisan berkaitan politik, sukan dan teknologi maklumat.

UMNO perlu berani melangkah ke hadapan dengan menawarkan masa depan yang meyakinkan kepada rakyat, dan bukan sekadar bergantung kepada nostalgia sejarah semata-mata.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ulang tahun parti itu bukan sekadar medan untuk mengenang perjalanan lampau, sebaliknya menjadi detik penting untuk merencana hala tuju masa depan yang lebih jelas dan berdaya saing.

Menurut beliau, keberanian merupakan elemen utama dalam memastikan UMNO terus relevan dalam landskap politik semasa yang semakin mencabar.

“Kerana nostalgia tidak mungkin dapat membina masa depan rakyat. Hanya dengan keberanianlah dapat kita melangkah ke hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen 80 Tahun UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari.

Mohamad menegaskan, UMNO tidak boleh mengambil sikap selesa kerana banyak parti politik di dunia yang seusia dengannya telah hilang pengaruh malah ada yang terkubur.

“Ambillah pengajaran daripada parti-parti lain di seluruh dunia yang seusia dengan kita.

“Ramai yang telah lupus. Dan yang masih ada, tidak lagi segah dan sekuat dahulu. UMNO tidak boleh kita biarkan sedemikian,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau mengakui UMNO telah melalui fasa sukar termasuk kekalahan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 2018 yang disifatkan sebagai detik paling getir dalam sejarah parti itu.

“Saat kita tewas dan tergelincir daripada kuasa. Saat paling getir dalam sejarah UMNO. Kita diberikan eulogi. Kita diberikan ucapan belasungkawa. Malah, kita hampir “ditalkinkan” oleh lawan dan juga oleh sebahagian daripada kita sendiri.

“Tetapi UMNO terus berkelangsungan. Ia tidak terkubur. Malah segala gelora dan badai yang UMNO tepuhi itu, telah dilayari dengan tekad yang utuh untuk merawat dan memulihkannya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh ahli parti agar menggunakan setiap ruang dan platform yang ada untuk mencari ilham serta mencetuskan idea baharu demi memastikan kelangsungan UMNO untuk tempoh jangka panjang.

“Kerana itu saya sering mengingatkan. Berhenti jual Sejarah. Mulakan jual Masa Hadapan. Kerana UMNO mesti menjadi parti yang kalis masa,” katanya.

Tambah beliau, rakyat khususnya orang Melayu kini mahukan keyakinan terhadap masa depan yang mampu ditawarkan oleh UMNO, bukannya retorik emosi atau tuntutan simpati semata-mata.

“Orang Melayu inginkan keyakinan masa depan yang boleh UMNO tawarkan. Bukan rintihan emosi, tagihan simpati, balasan hutang budi atau tuntutan terima kasih,” katanya. — Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan