UMNO dan Pakatan Harapan (PH) hari ini mencapai kata sepakat untuk mengekalkan kerjasama Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan.
Kesepakatan itu dicapai mesyuarat Majlis Perundingan UMNO-PH yang dipengerusikan bersama oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk De Asyraf Wajdi Dusuki dalam kenyataan bersama berkata, keputusan itu dibuat demi kestabilan dan kesejahteraan rakyat.
“Majlis Perundingan Pimpinan UMNO-PH menghormati pendirian yang telah diputuskan oleh kedua-dua Biro Politik masing-masing dalam menyentuh isu di Negeri Sembilan.
“Majlis Perundingan Pimpinan UMNO-PH mencapai kata sepakat untuk mengekalkan kerjasama Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan demi kestabilan negeri dan kesejahteraan rakyat,” katanya hari ini.
Beliau berkata, mesyuarat juga bersetuju untuk memastikan apa jua keputusan Kerajaan Negeri Sembilan yang boleh mencetuskan sebarang bentuk sensitiviti dan membuka ruang perselisihan mesti segera dirujuk kepada majlis tersebut.
Sebelum ini Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan goncang apabila 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada UMNO menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, langkah itu dibuat setelah mereka hilang kepercayaan terhadap Aminuddin yang didakwa gagal menyelesaikan isu institusi adat undang-undang tubuh negeri itu.
Bagaimanapun, Biro Politik UMNO memutuskan bahawa parti itu menghormati tindakan 14 ADUN terlibat namun memutuskan untuk kekal bersama PH dalam Kerajaan Perpaduan demi kestabilan negeri dan kesejahteraan rakyat.
Manakala Biro Politik PH pula mahukan agar Aminuddin kekal sebagai Menteri Besar walaupun mempunyai sokongan minoriti.
Untuk rekod, selain 14 kerusi dikuasai UMNO dan Barisan Nasional (BN), PH mempunyai 17 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri Sembilan manalala lima lagi milik Perikatan Nasional (PN).
Manakala jumlah majoriti mudah ialah sebanyak 19 kerusi. — Edisi 9

