Sunday, June 21, 2026

Farhash nafi terlibat aktiviti haram, serah pihak berkuasa siasat

Laporan yang diterbitkan pada 22 April, 23 April dan 5 Mei lalu oleh beberapa portal tempatan tidak benar, tidak berasas serta bersifat fitnah bertujuan mencemarkan reputasi dan integritinya.

Mesti Baca

AHLI perniagaan, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengaitkan beliau dengan aktiviti mencuri dan pengubahan wang haram berjumlah berbilion ringgit sepertimana tular menerusi beberapa portal berita dalam talian baru-baru ini.

Beliau berkata, laporan yang diterbitkan pada 22 April, 23 April dan 5 Mei lalu oleh beberapa portal tempatan adalah tidak benar, tidak berasas serta bersifat fitnah yang bertujuan mencemarkan reputasi dan integritinya.

Menurutnya, dakwaan kononnya beliau mempunyai kaitan dengan pemindahan wang haram ke luar negara termasuk ke Turkiye dan Afrika, selain tuduhan bahawa beliau merupakan warganegara Turkiye, adalah sama sekali tidak berasas.

“Saya dengan tegas dan tanpa sebarang keraguan menafikan semua tuduhan tersebut.

“Dakwaan-dakwaan ini adalah tidak benar, tidak berasas dan bersifat fitnah yang jelas bertujuan untuk mencemarkan reputasi serta integriti saya, selain memberi kesan negatif kepada kehidupan peribadi dan urusan perniagaan saya.

“Untuk penjelasan, saya bukan seorang warganegara Turkiye, tidak pernah terlibat dalam sebarang aktiviti mencuri atau pengubahan wang haram seperti yang didakwa, dan tidak mempunyai sebarang akaun bank di Turkiye.

“Saya hanyalah seorang ahlip perniagaan dan tidak terlibat dengan bidang politik sekarang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Farhash Wafa turut memandang serius penyebaran rakaman video yang didakwa mengandungi perbualan dua individu dikenali sebagai Sofia Rini dan Albert Tei, yang menurutnya disebarkan dengan niat jahat oleh pihak tertentu.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan telah membuat laporan polis dan menyerahkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa untuk disiasat mengikut peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 499 Kanun Keseksaan.

“Saya akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam proses siasatan ini.

“Saya telah mengarahkan peguam akan mengambil dan memfailkan tindakan undang-undang terhadap pihak yang terlibat dalam penyebaran fitnah ini demi melindungi nama baik serta kepentingan saya,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan atau mempercayai maklumat yang tidak disahkan, sebaliknya memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara adil dan telus. — Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan