Tuesday, June 16, 2026

UMNO hormati keputusan 14 ADUN, tetapi kekal dalam kerajaan

UMNO sentiasa berpegang teguh kepada asas Perlembagaan UMNO menurut Fasal 3.1 yang sentiasa mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu sebagai tonggak kedaulatan negara.

Mesti Baca

UMNO menghormati keputusan yang dibuat oleh 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan yang hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Bagaimanapun, menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, parti itu membuat keputusan untuk terus kekal menyokong kerajaan perpaduan di negeri itu.

Beliau berkata, keputusan itu dicapai   dalam mesyuarat Biro Politik UMNO serta setelah mendengar penjelasan tuntas oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berhubung kemelut tersebut.

“UMNO sentiasa berpegang teguh kepada asas Perlembagaan UMNO menurut Fasal 3.1 yang sentiasa mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu sebagai tonggak kedaulatan negara.

“UMNO Malaysia memandang serius perkembangan mutakhir yang melibatkan krisis Institusi Raja dan Adat Negeri Sembilan hingga mencetuskan polemik besar dan salah faham serius di kalangan anggota komponen parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan.

“UMNO Malaysia juga telah mendengar penjelasan tuntas daripada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan mengenai tindakan ADUN BN yang hilang kepercayaan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan kerana sikap beliau membelakangkan Institusi Adat dan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan.

“UMNO Malaysia berpendirian untuk menghormati ADUN yang kekal hilang kepercayaan kepada Menteri Besar namun terus menyokong Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan bagi memastikan kestabilan dan kesejahteraan rakyat terpelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mesyuarat Biro Politik UMNO yang diadakan di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur dipengerusikan oleh Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Hadir sama Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Naib Presiden, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Asyraf Wajdi berkata, satu pertemuan segera antara Biro Politik UMNO dan Biro Politik Pakatan Harapan (PH) harus diadakan segera bagi merungkai beberapa isu yang melibatkan prinsip-prinsip perjuangan parti masing-masing. 

“Ini seiring dengan Klausa 5(c) Perjanjian Persefahaman dalam membentuk Kerajaan Perpaduan yang menuntut segala isu dasar yang diperselisihkan diselesaikan dalam Majlis Perundingan,” katanya.

Isnin lalu, kesemua 14 ADUN BN mengumumkan menarik balik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Aminuddin kerana gagal menyelesaikan isu Institusi Adat dan Undang-undang Tubuh negeri.

Ekoran itu, Perikatan Nasional (PN) tidak menunggu lama mengumumkan kesediaan untuk bekerjasama dengan BN bagi membentuk kerajaan yang baharu di negeri itu.

Untuk rekod, dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu, PH dan BN membentuk kerajaan bersama di Negeri Sembilan setelah tiada parti yang memperoleh majoriti mudah sebanyak 19 kerusi.

Dalam PRU, PH memenangi 17 kerusi, BN 14 manakala lima kerusi dimenangi oleh PN. — Edisi 9 

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan