Tuesday, June 16, 2026

Kemas ambil alih pendidikan awal kanak-kanak di kawasan Felda

Langkah itu bertujuan mengurangkan pertindihan fungsi serta menyeragamkan penyampaian pendidikan awal berasaskan kurikulum kebangsaan yang lebih berkualiti dan inklusif.

Mesti Baca

SEMUA pusat pendidikan awal kanak-kanak di kawasan Felda akan diselaraskan di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) secara berfasa mulai Jun tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu bertujuan mengurangkan pertindihan fungsi serta menyeragamkan penyampaian pendidikan awal berasaskan kurikulum kebangsaan yang lebih berkualiti dan inklusif.

“Usaha memperkukuh ekosistem pembangunan insan luar bandar turut ditekankan, dengan HLC menyokong penyelarasan semula fungsi pendidikan awal kanak-kanak di kawasan Felda melalui penyerahan kepada Kemas secara berfasa bermula Jun 2026,” katanya hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah sebelum itu mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) Pembangunan Desa Kali Ketiga di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata, mesyuarat tersebut bertujuan menetapkan hala tuju jelas kerajaan untuk mempercepat lonjakan pembangunan luar bandar secara lebih tersusun, bersepadu dan berimpak tinggi, selaras dengan aspirasi

Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Ahmad Zahid berkata, selain penyelarasan pendidikan awal kanak-kanak Felda, HLC juga bersetuju untuk menekankan keperluan mempertingkat infrastruktur sekolah luar bandar.

Beliau berkata, langkah itu dilakukan melalui kerjasama strategik antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan institusi pendidikan di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi membantu pembaikan dan naik taraf kecil di sekolah pedalaman.

“Dalam mesyuarat ini, KKDW bersama rakan strategik telah merumuskan beberapa inisiatif utama merentas kementerian yang dijangka mempercepat transformasi desa ke arah ekosistem yang lebih moden, inklusif dan berdaya tahan. 

“HLC turut menekankan keperluan merapatkan jurang pembangunan melalui peluasan akses pendidikan, pemerkasaan pendigitalan serta pengukuhan tadbir urus secara bersepadu antara kementerian,” katanya.

Beliau berkata, seiring dengan agenda pendigitalan negara, HLC bersetuju untuk memperkemas ekosistem penyampaian digital luar bandar melalui kolaborasi yang lebih strategik antara Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dan Pusat Komuniti Desa (PKD) KKDW bagi mengoptimumkan peranan serta penggunaan sumber sedia ada.

“Bagi tahun 2026, pendekatan whole-of-government, whole-of-society dan data-driven governance akan terus diperkasakan bagi meningkatkan penyelarasan dan keberkesanan pelaksanaan, sekali gus mencerminkan komitmen KKDW dalam merapatkan jurang pembangunan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat secara inklusif dan mampan,” katanya. — Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan