BARISAN Nasional (BN) Negeri Sembilan menyatakan kesediaan mereka untuk bergabung dengan Perikatan Nasional (PN) bagi membentuk kerajaan Negeri Sembilan yang baharu.
Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, parti itu menyambut baik kesediaan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PN untuk bekerjasama demi menjamin kelangsungan pentadbiran kerajaan.
Beliau yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO negeri berkata, dalam situasi luar biasa kali ini, kepentingan rakyat Negeri Sembilan mengatasi segala kepentingan kepartian.
“Kami berjiwa besar untuk mengetepikan perbezaan ideologi demi memastikan sebuah kerajaan yang stabil dapat dibentuk dengan segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini kesemua 14 ADUN BN telah menarik balik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun ekoran kegagalan menyelesaikan isu institusi adat dan perlembagaan negeri.
Tindakan ADUN BN itu menyebabkan kerajaan perpaduan pimpinan Pakatan Harapan (PH) itu hilang majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN).
Serentak dengan itu, lima ADUN PN telah mengumumkan kesediaan mereka untuk bekerjasama dengan BN bagi membentuk kerajaan negeri.
Jalaluddin berkata, BN menghargai keprihatinan yang dizahirkan oleh ADUN-ADUN PN berhubung kemelut yang sedang melanda pentadbiran Kerajaan Negeri pada saat ini.
Beliau berkata, UMNO dan BN sentiasa bersikap pragmatik dan inklusif serta percaya penyatuan suara majotiti ADUN mampu memberikan naratif baharu yang lebih kukuh untuk memacu pembangunan negeri dan mempertahankan adat di negeri ini.
“Maka dengan itu, melalui kenyataan sokongan daripada lima (5) ADUN PN, UMNO BN telah mempunyai majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Negeri,” katanya yang mewakili 14 ADUN BN Negeri Sembilan.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata, tiada keperluan untuk beliau membubarkan DUN Negeri Sembilan pada saat ini.
Katanya, beliau masih kekal sebagai Menteri Besar meskipun 14 ADUN BN menarik sokongan terhadapnya.
Beliau berkata, tanggungjawab itu akan terus dipikul selaras dengan titah Yang di-Pertua Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. — Edisi 9

