UMNO dan Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan menafikan dakwaan bahawa tindakan 14 ADUN parti itu menarik sokongan terhadap kerajaan negeri sebagai usaha ‘tebuk atap’ atau cubaan mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri secara tidak bertanggungjawab.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, pendirian 14 ADUN terbabit dibuat secara terbuka, rasmi dan berasaskan prinsip.
“Ia bukan tindakan sulit, bukan rundingan pintu belakang, dan bukan gerakan merebut kuasa. Ia adalah pendirian politik yang sah apabila keyakinan terhadap kepimpinan Menteri Besar telah hilang,” katanya dalam sidang media di Seremban hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Fahmi Fadzil yang menganggap tindakan 14 ADUN UMNO/BN itu tidak menghormati semangat Kerajaan Perpaduan.
Katanya, PH menolak keras langkah pengkhianatan yang dilakukan UMNO/BN negeri itu yang cuba menebuk atap dan mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri dengan alasan yang langsung tidak terkait dengan prestasi Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Jalaluddin berkata, tindakan mereka itu merupakan pendirian politik yang sah apabila keyakinan terhadap kepimpinan Menteri Besar telah hilang.
“Pakatan Harapan (PH) perlu memahami bahawa isu ini bukan sekadar pertikaian politik biasa.
“Isu ini menyentuh krisis yang melibatkan Institusi Adat, Perlembagaan Negeri, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan serta kestabilan pentadbiran negeri,” katanya.
Beliau menjelaskan, UMNO/BN Negeri Sembilan tidak mencampuri urusan adat namun apabila tindakan dan kenyataan eksekutif kerajaan negeri dilihat memasuki ruang adat, mencetuskan pertikaian awam, dan Exco UMNO BN tidak dimaklumkan secara sewajarnya dalam proses kerajaan negeri, maka UMNO/BN tidak boleh terus memikul tanggungjawab bersama terhadap keputusan yang tidak dimaklumkan, tidak dipersetujui dan tidak selari dengan prinsip menghormati adat serta perlembagaan negeri.
“Atas sebab itu, tindakan menarik sokongan ini bukan soal prestasi harian Menteri Besar semata-mata, tetapi soal keyakinan terhadap kebijaksanaan kepimpinan beliau dalam mengurus krisis institusi yang amat sensitif.
“UMNO/BN Negeri Sembilan juga berpandangan bahawa isu berkaitan adat, institusi dan pentadbiran Negeri Sembilan sewajarnya ditangani dengan penuh kefahaman terhadap konteks negeri ini,” katanya.
Dalam hal ini, beliau menegaskan, adalah lebih wajar ruang penjelasan utama diberikan kepada pimpinan dan wakil rakyat Negeri Sembilan yang lebih memahami kedudukan adat, perlembagaan dan sensitiviti setempat.
Jalaluddin berkata, UMNO/BN Negeri Sembilan tetap menjunjung kasih terhadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, menghormati Institusi Raja-Raja Melayu, mempertahankan Institusi Adat Negeri Sembilan dan berpegang kepada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.
“Segala langkah selepas ini hendaklah dibuat mengikut lunas perlembagaan, undang-undang negeri dan tertib institusi,” katanya.
UMNO BN Negeri Sembilan menyeru semua pihak, termasuk PH supaya tidak meremehkan krisis ini dengan menyempitkannya kepada naratif “tebuk atap” atau perebutan kuasa semata-mata.
“Rakyat Negeri Sembilan berhak mendapat penjelasan yang jujur tentang bagaimana krisis ini berlaku, mengapa Exco UMNO/BN tidak dimaklumkan, dan bagaimana keyakinan terhadap pentadbiran negeri boleh dipulihkan.
“Pendirian UMNO/BN jelas: Ini bukan tebuk atap. Ini adalah krisis keyakinan terhadap Menteri Besar akibat kegagalan mengurus isu adat dan perlembagaan secara tertib.
“UMNO BN tidak campur urusan adat. Tetapi UMNO BN tidak boleh terus memikul tanggungjawab bersama terhadap tindakan eksekutif yang dilihat mencampuri ruang adat dan menjejaskan kestabilan negeri,” katanya. — Edisi 9

