PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi begitu teruja apabila pendaftaran keahlian parti secara dalam talian mendapat sambutan luar dugaan dan sebahagian besarnya terdiri daripada kalangan anak muda.
Beliau berkata, sejak dibuka pada Isnin lalu, sehingga petang ini jumlah yang mendaftar sebagai ahli UMNO secara dalam talian mencapai 8,861 orang.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, daripada jumlah tersebut 5,319 mendaftar sebagai ahli Pemuda UMNO; 2,266 ahli biasa; 700 Wanita dan 576 lagi sebagai Puteri UMNO.
“Syukur Alhamdulillah. Saya nak ucapkan berbanyak-banyak terima kasih dan selamat datang kepada semua yang telah mendaftar serta memilih untuk bersama perjuangan ini,” katanya menerusi hantaran dalam media sosial beliau hari ini.
Ahmad Zahid yang dilihat semakin aktif menggunakan media sosial berkata, beliau turut teruja apabila ramai kalangan anak muda turut membantu mempromosikan laluan pendaftaran secara dalam talian tersebut.
“Teruskan usaha mendakap lebih ramai lagi untuk menyertai keluarga besar UMNO ini.
“Saya nak tanya, ada yang baru mohon juga dalam tiga hari ini?,” katanya yang disambut ratusan komen di Facebooknya.
Sementara itu, salah satu komen yang diterima menerusi media sosial tersebut telah mendapat perhatian Ahmad Zahid.
Seorang warganet, Muhammad Hafiz mencadangkan agar UMNO mewujudkan satu aplikasi di telefon bimbit sebagai pusat sehenti maklumat berkaitan parti itu.
Pengguna terbabit juga mencadangkan agar bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin diberi tanggungjawab mengendalikan aplikasi tersebut memandangkan bekas Menteri Kesihatan itu berjaya mengendalikan MySejahtera sebelum ini.
“Terima kasih Hafiz. Saya akan perhalusi bersama yang lain,” kata Ahmad Zahid.
Pendaftaran ahli UMNO boleh dibuat meneruia http://myumno.org. — Edisi 9

