Monday, July 20, 2026

Waspada hujan lebat, ribut petir  di kebanyakan kawasan – Zahid

Bagi Johor dan Melaka, pola cuaca dijangka melibatkan hujan dan ribut petir pada waktu pagi, petang dan malam bergantung kepada lokasi, dan ini memerlukan kesiapsiagaan semua pihak.

Mesti Baca

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan orang ramai agar berwaspada ekoran peralihan monsun aktif yang akan dilalui negara dalam tempoh seminggu akan datang.

Menurut beliau, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menjangkakan cuaca akan berada dalam keadaan lebih lembap, dengan potensi ribut petir dan hujan lebat di kebanyakan kawasan.

Beliau berkata, ini khususnya di barat dan pedalaman Semenanjung termasuk Johor dan Melaka, serta pedalaman Sabah dan Sarawak.

“Perubahan ini sedikit sebanyak membantu mengurangkan cuaca panas yang kita rasai sebelum ini. 

“Namun, beberapa kawasan di utara dan pedalaman Semenanjung masih berpotensi mengalami suhu yang lebih tinggi.

“Dalam masa yang sama, kita perlu lebih berwaspada kerana keadaan ini boleh membawa kepada hujan lebat, angin kencang dan ribut petir dalam tempoh yang singkat,” kata beliau menerusi media sosialnya hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, bagi Johor dan Melaka, pola cuaca dijangka melibatkan hujan dan ribut petir pada waktu pagi, petang dan malam bergantung kepada lokasi, dan ini memerlukan kesiapsiagaan semua pihak.

“Apa yang turut menjadi perhatian adalah paras air empangan di kedua-dua negeri ini yang masih berada pada tahap membimbangkan akibat taburan hujan yang tidak sekata sejak kebelakangan ini,” tambah beliau.

Sehubungan itu, beliau berkata, operasi pembenihan awan (OPA) sedang dipertimbangkan dan akan dilaksanakan tertakluk kepada keadaan atmosfera yang sesuai, sebagai usaha meningkatkan taburan hujan di kawasan tadahan empangan yang kritikal.

“Insya-Allah, kita akan terus memantau keadaan semasa dan melakukan ikhtiar terbaik bagi memastikan kesejahteraan rakyat serta kelangsungan bekalan air sentiasa terjamin,” katanya.

MET Malaysia dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan, negara memasuki fasa peralihan antara Monsun Timur Laut dan Monsun Barat Daya bermula akhir Mac lalu sehingga pertengahan bulan depan.

Dalam tempoh tersebut, keadaan cuaca tidak menentu apabila langit yang cerah pada sebelah pagi boleh bertukar menjadi ribut petir dan hujan lebat besert angin kencang dalam tempoh singkat pada sebelah petang dan malam.

Keadaan cuaca sedemikian juga, jelas MET Malaysi, boleh berpotensi menjana angin puting beliung dan menghasilkan hujan batu. — Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan