KETEGANGAN yang berterusan di Asia Barat tidak seharusnya mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat, khususnya melibatkan tindakan pengeluaran wang secara besar-besaran daripada institusi perbankan.
Ketua Program Sarjana Muda Kewangan, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu, Dr. Siti Nurain Muhmad berkata, sistem perbankan Malaysia kekal kukuh dan berada dalam keadaan stabil meskipun berdepan ketidaktentuan global.
Menurut beliau, kebimbangan yang tidak berasaskan fakta boleh mendorong berlakunya fenomena ‘bank run’, iaitu situasi apabila orang ramai mengeluarkan simpanan secara serentak kerana takut akan kegagalan institusi kewangan.
“Malaysia mempunyai struktur kawal selia yang mantap di bawah Bank Negara Malaysia (BNM), yang sentiasa memantau tahap kecairan dan kesihatan institusi perbankan.
“Selain itu, simpanan pendeposit turut dilindungi oleh Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM), yang menyediakan jaminan perlindungan kepada pengguna sekiranya berlaku sebarang kegagalan institusi kewangan.
“Ini bermakna, risiko kehilangan simpanan akibat ketidakstabilan bank adalah sangat rendah,” katanya baru-baru ini.
Siti Nurain berkata, konflik di Asia Barat hanya memberi kesan tidak langsung kepada ekonomi negara, seperti peningkatan harga minyak global, tekanan inflasi dan ketidaktentuan pasaran kewangan.
Namun, katanya, kesan tersebut lazimnya bersifat sementara dan masih berada dalam kawalan.
“Malah, sebagai negara pengeksport minyak, Malaysia berpotensi mendapat manfaat tertentu daripada kenaikan harga komoditi tersebut,” katanya.
Beliau turut menegaskan, faktor psikologi memainkan peranan besar dalam mencetuskan kebimbangan awam, terutamanya dengan penyebaran maklumat tidak tepat di media sosial.
“Penyebaran maklumat yang tidak tepat atau sensasi di media sosial boleh meningkatkan ketakutan awam, seterusnya mendorong tindakan tidak rasional seperti menyimpan tunai secara berlebihan di rumah.
“Tindakan ini bukan sahaja berisiko kepada keselamatan individu, malah boleh mengganggu kestabilan sistem kewangan sekiranya berlaku secara meluas,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai disaran supaya merujuk kepada sumber sahih serta tidak mudah terpengaruh dengan khabar angin yang boleh menjejaskan kestabilan ekonomi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pendekatan terbaik dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi adalah dengan memperkukuh kedudukan kewangan peribadi melalui pengurusan perbelanjaan secara berhemah.
“Ini termasuk memastikan kecukupan dana kecemasan, mengawal perbelanjaan harian seperti makanan dan keperluan isi rumah, mengurangkan penggunaan utiliti seperti elektrik dan air secara lebih efisien, serta mengelakkan pembelian atau pinjaman yang tidak kritikal dalam tempoh ketidaktentuan ini,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menyeru masyarakat agar lebih bertanggungjawab dalam penggunaan media sosial dengan tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mencetuskan panik awam.
Katanya, peningkatan tahap literasi kewangan dalam kalangan rakyat amat penting bagi memastikan setiap keputusan yang dibuat adalah berasaskan maklumat tepat dan pertimbangan rasional. – Edisi 9

