Sunday, July 19, 2026

Konflik Asia Barat: Ruang diplomasi dan rundingan masih ada

Walaupun AS memiliki kelebihan dari segi teknologi dan kuasa serangan, namun Iran masih mempunyai kelebihan asimetri yang signifikan.

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Oleh COLLINS CHONG YEW KEAT

KONFLIK serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran kini memasuki satu fasa yang semakin kritikal, namun belum melepasi titik tanpa pulang. 

Insiden penembakan jatuh pesawat pejuang F-15E Strike Eagle serta serangan terhadap A-10 Thunderbolt II di Teluk Parsi jelas meningkatkan risiko, tetapi belum cukup untuk menjustifikasikan andaian bahawa perang besar-besaran tidak dapat dielakkan.

Sebaliknya, krisis ini lebih tepat difahami sebagai satu bentuk percaturan leverage, di mana kedua-dua pihak sedang berusaha memperkukuh kedudukan masing-masing sebelum melangkah ke meja rundingan. 

Dalam konteks ini, konflik bukan sahaja berlaku di medan ketenteraan, tetapi turut melibatkan dimensi psikologi, persepsi dan ekonomi global.

Iran hampir pasti akan mengeksploitasi kejayaan menembak jatuh aset udara AS sebagai kemenangan psikologi. 

Ia memberi mesej bahawa Tehran masih berupaya mengenakan kos ketenteraan terhadap kuasa besar dunia, sekali gus mencabar naratif dominasi mutlak kuasa udara AS.

Bagi Presiden Donald Trump pula, insiden ini meletakkan beliau dalam dilema strategik yang rumit.

Sebarang kegagalan bertindak balas dengan tegas boleh menjejaskan kredibiliti cegah rintang negaranya. 

Namun, tindak balas berlebihan berisiko mencetuskan konflik yang lebih luas dan memberi tekanan domestik, khususnya dalam konteks kos tenaga dan sentimen politik dalaman.

Dalam situasi ini, pilihan yang ada kepada Washington tidak terhad kepada tindakan ketenteraan semata-mata. 

Pendekatan yang lebih berkemungkinan ialah gabungan tekanan ketenteraan terpilih, operasi menyelamat anggota, serta penggunaan diplomasi paksaan bagi memaksa Iran kembali ke meja rundingan dengan kedudukan yang lebih lemah.

Walaupun AS memiliki kelebihan dari segi teknologi dan kuasa serangan, namun Iran masih mempunyai kelebihan asimetri yang signifikan.

Kedudukan geografinya yang strategik, khususnya pengaruh terhadap Selat Hormuz yang mengendalikan kira-kira 20 peratus bekalan minyak dunia, memberi Tehran keupayaan untuk membawa kesan besar kepada ekonomi global tanpa perlu terlibat dalam konfrontasi konvensional berskala penuh.

Dalam erti kata lain, Iran tidak perlu menang secara ketenteraan untuk mencapai objektif strategiknya.

Cukup sekadar meningkatkan ketidaktentuan, menaikkan kos insurans perkapalan, serta mengganggu aliran tenaga global bagi memberi tekanan kepada Washington dan sekutunya.

Di peringkat serantau, negara-negara Teluk seperti Arab Saudi dan United Arab Emirates (UAE) turut berdepan dilema tersendiri.

Walaupun terdapat kepentingan untuk melihat Iran dilemahkan, mereka pada masa sama amat berhati-hati terhadap risiko tindak balas balas yang boleh menyasarkan infrastruktur tenaga dan kemudahan kritikal di negara masing-masing.

Justeru, pendekatan yang diambil lebih bersifat strategic restraint iaitu menyokong tekanan terhadap Iran, namun mengelakkan keterlibatan dalam konflik terbuka berskala besar.

Apa yang jelas, konflik ini tidak berlaku dalam satu dimensi semata-mata. 

Ia merangkumi perang naratif, perang psikologi, tekanan ekonomi dan demonstrasi kekuatan ketenteraan secara serentak. 

Kedua-dua pihak sedang berusaha meyakinkan dunia bahawa merekalah yang berada di posisi lebih kuat.

Namun begitu, di sebalik retorik keras dan peningkatan ketegangan, saluran diplomatik masih belum tertutup sepenuhnya. 

Kewujudan tarikh akhir rundingan serta penglibatan perantara menunjukkan bahawa kedua-dua pihak masih melihat nilai strategik dalam penyelesaian secara rundingan.

Selagi ruang ini wujud, konflik ini masih berada dalam fasa yang boleh dikawal. 

Risiko peningkatan tetap ada, terutamanya jika berlaku salah kira dalam percaturan strategi. 

Namun, realitinya kedua-dua pihak memahami bahawa perang penuh akan membawa kos yang jauh lebih besar berbanding manfaat yang boleh diperoleh.

Kesimpulannya, konflik antara AS-Israel dan Iran pada ketika ini bukan sekadar pertarungan ketenteraan, tetapi satu ujian keupayaan kedua-dua pihak mengimbangi tekanan dan diplomasi. 

Selagi kepentingan untuk mengelakkan kemusnahan lebih besar kekal menjadi pertimbangan utama, maka ruang untuk de-eskalasi dan penyelesaian secara rundingan masih terbuka.


Penulis ialah Penganalisis Strategi, Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa Universiti Malaya.

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Edisi 9.


Terkini

Exco Johor: Enam kekal portfolio, empat lantikan baharu

SERAMAI 10 Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri Johor bagi penggal 2026-2031 hari ini mengangkat sumpah jawatan masing-masing hari...

Lagi Artikel Berkaitan