KEJAYAAN enam daripada 32 anak-anak Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 disifatkan sebagai manifestasi kekuatan jiwa, ketabahan dan keazaman tinggi generasi muda negara.
Pengerusi YKM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pencapaian tersebut bukan sekadar kejayaan akademik semata-mata, sebaliknya mencerminkan semangat juang anak-anak yang berdepan pelbagai cabaran kehidupan.
Menurut beliau, kejayaan itu membuktikan bahawa dengan sokongan berterusan serta peluang pendidikan yang saksama, setiap anak Malaysia berpotensi untuk melakar kecemerlangan.
“Kejayaan ini bukan sekadar pencapaian akademik, tetapi merupakan manifestasi kekuatan jiwa, ketabahan dan keazaman tinggi anak-anak yang telah melalui pelbagai cabaran kehidupan.
“Ia membuktikan bahawa dengan sokongan yang berterusan dan peluang yang saksama, setiap anak Malaysia mampu melakar kejayaan yang membanggakan,” katanya.
Perdana Menteri Kesembilan itu berkata demikian selepas menyerahkan Bantuan Kecemerlangan SPM 2025 kepada Aisyah Maharuddin, pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Repah yang memperoleh 10A dalam SPM 2025 di Taman Asahan Indah, Gemencheh, Negeri Sembilan, semalam.

Selain Aisyah, bekas Perdana Menteri turut menyerahkan sumbangan sama kepada Aqilah Alya Mohamad, pelajar Sekolah Menengah Sains (SMS) Tuanku Jaafar yang mendapat 9A, di Felda Jelai 4, Gemas.
Empat lagi mencatatkan keputusan sekurang-kurang 5A dalam SPM 2025 ialah Nurhanani Ainan Khafizan, pelajar SMK Abdul Rahman Talib yang memperoleh 9A; Nurul Iffah Hafshah Irwan (SMS Kuala Terengganu – 8A); Nur Afiqah Najla Binti Maharin (MRSM Bentong – 5A) dan Anis Shazrina Anuar dari SMK Bandar Puteri Jaya yang juga memperoleh 5A.
Mereka akan turut menerima Bantuan Kecemerlangan SPM 2025 yang akan dikreditkan ke akaun masing-masing bermula hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri menegaskan, kejayaan tersebut membuktikan agenda pemerkasaan pendidikan dan kebajikan anak-anak Keluarga Malaysia berada di landasan yang tepat.
“Setiap kejayaan anak-anak ini adalah simbol harapan negara. Mereka bukan sahaja membuktikan keupayaan diri, malah menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa masa depan negara terletak pada generasi yang berilmu, berdaya tahan dan berakhlak,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, YKM akan terus memperkukuh inisiatif sokongan pendidikan termasuk membantu pelajar melanjutkan pengajian dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui kerjasama dengan agensi seperti MARA serta kolej kemahiran berkaitan.
Katanya, usaha itu diharap dapat melahirkan generasi muda yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah berupaya menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara. — Edisi 9

