KEPUTUSAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 mencatatkan pencapaian amat memberangsangkan bagi Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) apabila menunjukkan peningkatan ketara mengatasi sekolah-sekolah lain di seluruh negara.
Menurut Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, lebih membanggakan apabila lima MRSM mencatatkan Gred Purata MRSM (GPM) di bawah 1.500, sekali gus menduduki lima sekolah terbaik seluruh negara.
Lima MRSM tersebut ialah MRSM Tun Ghafar Baba, Melaka yang mencatatkan GPM 1.139; MRSM Gemencheh, Negeri Sembilan (1.195); MRSM Taiping, Perak (1.224); MRSM Pengkalan Chepa, Kelantan (1.254) dan MRSM Kuala Kubu Bharu, Selangor yang merekodkan GPM 1.284.
“Alhamdulillah, keputusan SPM 2025 hari ini mencatatkan pencapaian MRSM yang amat memberangsangkan dengan kenaikan mendadak mengatasi sekolah-sekolah lain.
“Sebanyak 19 MRSM mencatatkan GPM bawah 2.0 dan 80 pelajar mendapat semua A+ (berbanding 69 orang tahun lalu). Manakala lima MRSM berada pada kedudukan tertinggi lima terbaik Malaysia,” katanya hari ini.
Untuk rekod, seramai 7,636 calon SPM 2025 dari 57 MRSM yang telah menduduki peperiksaan tersebut, termasuk MRSM Ranau, Sabah dan MRSM Bintulu, Sarawak yang kali pertama mengambil peperiksaan SPM.
Asyraf Wajdi berkata, sebanyak 11 MRSM telah melakarkan peningkatan pencapaian dengan MRSM ATM Bera mencatatkan lonjakan GPM tertinggi.
Katanya, MARA turut berbangga dengan pencapaian mengikut subjek terutamanya melibatkan subjek Matematik di mana 10 MRSM telah mencatatkan 100 peratus A manakala 21 MRSM mencatatkan 100 peratus A bagi subjek Pendidikan Islam.
“Subjek Pendidikan Moral, Pengajian Kejuruteraan Mekanikal, Elektrikal & Elektronik, Bahasa Arab, Seni Visual dan Reka Cipta turut mencatatkan peningkatan GP subjek.
“Pencapaian MRSM dalam subjek Sains pula menunjukkan keputusan yang cemerlang dengan 42.5 peratus mendapat gred A dalam subjek Fizik, manakala 40.5 peratus dan 37.7 peratus masing-masing dalam subjek Biologi dan Kimia,” katanya.
Sehubungan itu, Asyraf Wajdi merakamkan ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak atas segala komitmen, iltizam, kerja kuat berpasukan yang berterusan dengan satu matlamat hanya untuk membangunkan anak bangsa.
“Saya doakan agar Allah merahmati dan mengganjari kalian dengan pahala jariah yang berterusan sehingga hari kiamat,” katanya. – Edisi 9

