PELAKON tanah air, Datin Anne Ngasri menganggap pelantikannya sebagai Pengerusi Premiera Hotel Kuala Lumpur sebagai amanah yang bukan sesuatu yang ringan yang perlu dipikul.
Sebaliknya, pemilik nama sebenar Datin Naszriah Ngasri, 42, berkata, ia hadir bersama tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan sebaiknya, penuh keikhlasan dan integriti.
“Saya menerimanya dengan penuh rasa syukur, namun saya juga sedar bahawa amanah ini bukan sesuatu yang ringan.
“Ia hadir bersama tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan sebaiknya, penuh keikhlasan dan integriti,” katanya menerusi media sosialnya hari ini.
Exco Wanita UMNO Malaysia itu dilantik sebagai Pengerusi Premiera Hotel Kuala Lumpur, sebuah hotel di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) bermula 2 Mac lalu.
Pengumuman mengenainya di buat oleh pengurusan hotel yang mengucapkan kepada beliau menerusi Instagram semalam.
Anne yang terkenal sebagai pelakon drama dan filem sejak kanak-kanak turut mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas kepercayaan yang diberikan kepada beliau.
Sehubungan itu, beliau berharap agar semua pihak mendoakan agar diberi kekuatan, kebijaksanaan dan ketenangan dalam menjalankan tugasnya.
“Saya memohon doa daripada semua , agar diberikan kekuatan, kebijaksanaan dan ketenangan dalam menjalankan amanah ini.
Semoga setiap langkah ini sentiasa dalam rahmat dan petunjuk Allah SWT,” katanya yang juga kakak kepada pelakon dan pelawak terkenal, Bell Ngasri. – Edisi 9

