DATUK Wira Mas Ermieyati Samsudin hari ini bersetuju untuk membayar ganti rugi kepada Majlis Amanah Rakyat (MARA) berhubung satu kes fitnah terhadap agensi itu sebelum ini.
Perkara itu disahkan oleh Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang memaklumkan Ahli Parlimen Masjid Tanah itu mengaku mengeluarkan kenyataan-kenyataan tidak benar dan berunsur fitnah terhadap beliau dan MARA.
Asyraf Wajdi berkata, pengakuan itu dibuat di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Isa Aziz Ibrahim di Mahkamah Tinggi Melaka hari ini.
“Alhamdulillah, Mahkamah Tinggi Melaka, Pesuruhjaya Kehakiman Tuan Isa Aziz Ibrahim telah merekodkan Penghakiman Persetujuan bahawa Defendan Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin telah mengakui mengeluarkan kenyataan-kenyataan tidak benar dan berunsur fitnah terhadap saya dan MARA.
“Datuk Wira Mas Ermieyati juga bersetuju memohon maaf secara bertulis, menarik balik, memadamkan semua hantaran video di semua platform media sosial beliau dan membayar gantirugi sebanyak RM50,000 kepada MARA,” katanya hari ini.
Asyraf Wajdi yang juga Setiausaha Agung UMNO berharap kes tersebut menjadi pengajaran berguna kepada semua agar bertanggungjawab dan tidak sewenangnya mengeluarkan kenyataan fitnah yang boleh menghancurkan reputasi dan institusi.
Sehubungan itu, beliau berterima kasih kepada barisan peguam MARA diketuai oleh Datuk Adnan Seman dan seluruh pegawai MARA yang berjuang untuk memastikan agar institusi penting orang Melayu dan Bumiputera terus kekal berintegriti dan terpelihara daripada sebarang fitnah yang membinasakan.
Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata, setiap sen daripada ganti rugi yang diterima akan dimasukkan ke dalam akaun wakaf MARA untuk manfaat pelajar-pelajar miskin, daif dan anak yatim sepertimana yang dijanjikan beliau sebelum ini.
“Sebagaimana janji saya awal-awal dahulu bahawa setiap sen RM50,000 wang ganti rugi hasil saman fitnah saya terhadap Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin tidak akan sesekali digunakan untuk peribadi.
“Sebaliknya saya sudah minta pengurusan MARA untuk memasukkan wang ganti rugi apabila diterima nanti ke dalam akaun wakaf MARA untuk manfaat pelajar-pelajar miskin, daif dan anak yatim,” katanya. — Edisi 9

