JABATAN Perikanan Malaysia (DOF) memberi amaran kepada orang ramai agar tidak melepaskan ikan yang berpenyakit atau menyalirkan air tercemar ke sistem saliran awam berikutan jangkitan Koi Herpesvirus (KHV) yang kini dikesan di beberapa kawasan di Sabah.
Ketua Pengarah Perikatan, Datuk Adnan Hussain berkata, tindakan tidak
bertanggungjawab sedemikian boleh memberi kesan serius terhadap kelangsungan spesies ikan tempatan seperti kelah dan lampam serta menjejaskan keseimbangan ekosistem perairan negara.
Beliau menegaskan, situasi di Sabah merupakan peringatan jelas bahawa ancaman penyakit ikan boleh berlaku pada bila-bila masa dan semua pihak tidak boleh leka dalam aspek biosekuriti.
Menurut beliau, pengusaha akuakultur perlu sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi dengan mematuhi protokol kuarantin dan pengurusan ladang tanpa kompromi.
“Memandangkan KHV tidak mempunyai rawatan atau vaksin, tindakan pelupusan segera terhadap ikan yang dijangkiti adalah langkah paling berkesan bagi memutuskan rantaian jangkitan dan mengelakkan penularan yang lebih luas,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Adnan bagaimanapun berkata, status perairan umum di Semenanjung Malaysia kekal selamat dan bebas daripada jangkitan KHV setakat ini.
Katanya, melalui pelaksanaan berterusan Program Survelan Kesihatan Ikan Nasional, DOF mengesahkan tiada penularan KHV dikesan di sungai dan tasik di Semenanjung.
“Data turut menunjukkan penurunan kes di ladang ikan koi swasta daripada tujuh kes pada tahun 2022 kepada tiga kes pada tahun 2025, dengan kesemua kejadian berjaya dikawal sepenuhnya tanpa merebak ke perairan
awam,”katanya.
Sementara itu Adnan berkata, DOF akan terus memperkukuh langkah kawalan melalui pelaksanaan pemeriksaan berkala sekurang-kurangnya dua kali setahun ke atas ladang spesies Cyprinidae.
Selain itu, DOF juga akan memperketat kawalan kemasukan di pintu masuk negara dengan kerjasama MAQIS serta meningkatkan pemantauan dan kesiapsiagaan tindak balas pantas terhadap sebarang kejadian luar biasa.
“DOF turut menyeru semua pengusaha dan orang awam agar segera melaporkan sebarang kejadian kematian ikan luar biasa kepada pejabat perikanan berhampiran.
“Kerjasama dan pematuhan berterusan terhadap garis panduan biosekuriti adalah kunci utama dalam memastikan industri ikan hiasan serta khazanah perairan negara kekal terpelihara daripada ancaman wabak,” katanya. – Edisi 9

