Sunday, July 19, 2026

Pegawai DOF berdepan tindakan tatatertib, jenayah – EAIC

Berlaku ketidakpatuhan terhadap prosedur dan dasar pelesenan DOF dalam proses permohonan dan kelulusan bagi 54 vesel milik dua buah syarikat yang terlibat. 

Mesti Baca

PEGAWAI Jabatan Perikanan (DOF) di ibu pejabat dan lima negeri yang terbabit dalam kelulusan 54 lesen perikanan kepada dua syarikat akan dirujuk kepada Pihak Berkuasa Tatatertib jabatan berkenaan.

Menurut Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), mereka terdiri daripada para pegawai yang bertugas di ibu pejabat, di Johor, Kedah, Terengganu, Kelantan dan Pahang.

EAIC berkata, siasatan tersebut dijalankan berdasarkan seksyen 28 Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].

“Hasil siasatan EAIC mendapati berlaku ketidakpatuhan terhadap prosedur dan dasar pelesenan DOF dalam proses permohonan dan kelulusan bagi 54 vesel milik dua buah syarikat yang terlibat. 

“Selain itu, turut wujud unsur jenayah pemalsuan atau menggunakan dokumen palsu sebagai tulen yang boleh disiasat di bawah seksyen 471 Kanun Keseksaan [Akta 574],” kata EAIC dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun kenyataan tersebut tidak menyebut jumlah pegawai terlibat dalam siasatan tersebut.

Sehubungan itu, EAIC berkata, mereka yang terbabit akan dirujuk kepada Pihak Berkuasa Tatatertib DOF dan  mengesyorkan hukuman di bawah Peraturan 38, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993]. 

“Syor hukuman ini dibuat susulan daripada kesalahan tatatertib yang dilakukan iaitu tidak bertanggungjawab, ingkar perintah dan cuai dalam melaksanakan tugas,” katanya.

Selain itu, EAIC berkata, hasil siasatan juga akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara selaras dengan peruntukan perenggan 30(1)(c) Akta 700 dengan cadangan untuk siasatan jenayah menurut seksyen 471 Akta 574 atau mana-mana seksyen berkaitan dibuat ke atas suspek-suspek yang dikenal pasti.

Sementara itu, bagi menambah baik tadbir urus pelesenan, EAIC mengsyorkan agar Ketua Pengarah Perikanan mempertimbangkan pembatalan lesen vesel-vesel yang diperolehi melalui prosedur yang tidak teratur.

Selain itu, DOF juga perlu menyediakan garis panduan khusus berkaitan kelulusan Ibu Pejabat DOF ke atas permohonan ubah suai vesel melebihi 20 peratus.

DOF juga perlu menambah baik sistem pengurusan fail di Pejabat Perikanan Daerah, menetapkan had bilangan lesen perikanan/vesel yang boleh dikeluarkan kepada sesebuah syarikat serta menambah baik sistem E-Lesen. — Edisi 9

Terkini

Exco Johor: Enam kekal portfolio, empat lantikan baharu

SERAMAI 10 Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri Johor bagi penggal 2026-2031 hari ini mengangkat sumpah jawatan masing-masing hari...

Lagi Artikel Berkaitan