ORANG ramai harus mengubah persepsi bahawa amalan rasuah bukan kes terpencil sebaliknya ia adalah perbuatan merompak hasil negara.
Sehubungan itu Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menuntut setiap penjawat awam bertindak segera dan berani untuk mencegah kesalahan rasuah berakar umbi.
Katanya, ini menuntut pihak berkuasa dan ketua jabatan untuk lebih terbuka dan sanggup mengambil tindakan yang mungkin tidak popular.
“Termasuk melaksanakan syor tatatertib dan menyingkirkan pegawai yang korup, sebagai langkah tegas untuk menegakkan integriti dan akauntabiliti institusi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Suruhanjaya itu berkata, bagi merealisasikan sasaran 25 negara teratas menjelang 2033, usaha reformasi perlu bermula dengan tindakan yang kredibel dan memberi impak nyata, bukan sekadar keputusan atau persetujuan di peringkat dasar.
Selaku badan pengawasan integriti agensi penguatkuasaan, EAIC menyeru persepsi umum terhadap rasuah perlu diubah untuk mencerminkan komitmen serius negara terhadap integriti, selaras dengan sasaran peningkatan CPI.
EAIC berkata, pihaknya menyambut baik perkembangan terbaru Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang mencatatkan Malaysia pada skor 52 mata dan kedudukan ke-54 dunia.
EAIC berkata, pihaknya juga menyahut baik penekanan Transparency International Malaysia mengenai keperincian reformasi institusi dan perundangan
Katanya, ini termasuk penubuhan Ombudsman Malaysia yang harus dirancang dan dilaksanakan dengan teliti tanpa sebarang kelompangan, berkesan serta memberi manfaat sebenar yang lebih tinggi berbanding agensi sedia ada.
“Selaku Ketua Peneraju Focus Group Penguatkuasaan di bawah Pasukan Petugas Khas CPI, EAIC akan terus melaksanakan usaha dan mekanisme bagi memperkukuh integriti dan akauntabiliti agensi penguatkuasaan.
“EAIC percaya bahawa melalui komitmen terhadap tindakan nyata dan tadbir urus yang teguh, Malaysia mampu mencapai kedudukan 25 teratas CPI dan meneguhkan keyakinan rakyat terhadap integriti negara,” katanya. — Edisi 9

