
MENUA bukan satu pilihan, tetapi satu kepastian. Persoalannya bukan sama ada kita akan menjadi tua, sebaliknya bagaimana kita menua dengan tenang atau terasing, dengan maruah atau kesunyian.
Dalam banyak perbincangan tentang warga emas, kita sering menumpukan aspek fizikal: penyakit, rawatan dan kemudahan.
Namun satu dimensi penting kerap terlepas pandang, iaitu kesihatan mental.
Sedangkan di situlah terletaknya rasa bermakna, harga diri dan kesejahteraan sebenar seseorang insan yang meniti usia senja.
Hakikatnya, proses penuaan sering hadir bersama perubahan besar dalam kehidupan.
Persaraan, kemerosotan fizikal, penyakit kronik, kehilangan pasangan hidup atau rakan sebaya, serta perubahan peranan dalam keluarga adalah realiti yang tidak dapat dielakkan.
Jika perubahan ini tidak diurus dengan baik, ia boleh mencetuskan tekanan emosi yang mendalam.
Kesunyian merupakan antara ancaman paling senyap terhadap kesihatan mental warga emas.
Apabila interaksi sosial semakin berkurang, rasa tidak diperlukan mula menyelinap. Dari situ, kemurungan dan keresahan mudah berakar.
Lebih membimbangkan, keadaan ini sering dianggap lumrah, seolah-olah sedih dan murung adalah harga yang wajib dibayar oleh usia tua.
Penyakit fizikal pula jarang datang bersendirian. Diabetes, strok, sakit sendi dan masalah kesihatan kronik lain bukan sahaja melemahkan tubuh, tetapi turut menguji kekuatan emosi.
Kebergantungan kepada orang lain, kesakitan berpanjangan dan keterbatasan pergerakan sering menjejaskan harga diri warga emas, walaupun mereka tidak pernah meluahkannya secara terbuka.
Dalam keadaan ini, pengurusan kesihatan mental warga emas tidak boleh bersifat reaktif semata-mata.
Ia menuntut pendekatan menyeluruh, merangkumi pencegahan awal, sokongan sosial, pengiktirafan maruah serta pemerkasaan rohani.
Hubungan sosial yang berterusan adalah ubat paling mujarab. Warga emas yang terus dilibatkan dalam aktiviti komuniti, kelas agama, pertemuan keluarga atau sekadar perbualan harian terbukti lebih stabil dari segi emosi.
Dalam dunia serba pantas hari ini, teknologi mudah seperti panggilan video dan aplikasi mesej juga boleh menjadi jambatan kasih yang merapatkan jarak generasi.
Aktiviti fizikal ringan pula sering dipandang remeh, sedangkan kesannya besar.
Berjalan kaki, senaman regangan, berkebun atau kerja rumah ringan bukan sahaja menguatkan tubuh, malah membantu minda kekal positif.
Tubuh yang bergerak memberi isyarat kepada minda bahawa kehidupan masih berjalan dan bermakna.
Rangsangan kognitif juga penting. Membaca, menulis, belajar perkara baharu atau menghafaz ayat-ayat al-Qur’an membantu mengekalkan ketajaman minda serta keyakinan diri.
Warga emas bukan individu yang “sudah selesai”, sebaliknya insan berpengalaman yang masih mampu berkembang.
Dalam konteks masyarakat kita, dimensi kerohanian menjadi sumber kekuatan utama warga emas.
Solat, zikir, doa dan muhasabah memberikan ketenangan yang tidak mampu diganti oleh ubat-ubatan.
Di sinilah warga emas belajar menerima penuaan bukan sebagai kehilangan, tetapi sebagai fasa kehidupan yang penuh hikmah.
Namun, tanggungjawab ini tidak boleh diletakkan di bahu warga emas semata-mata.
Keluarga perlu belajar mendengar dengan empati, mengelakkan sikap meremehkan perasaan mereka dan terus melibatkan warga emas dalam keputusan keluarga.
Masyarakat pula perlu membina persekitaran yang mesra warga emas serta menghapuskan stigma terhadap masalah kesihatan mental.
Akhirnya, kesihatan mental warga emas bukan sekadar isu perubatan, tetapi cerminan nilai kemanusiaan kita.
Cara kita melayan warga emas hari ini adalah gambaran bagaimana kita sendiri ingin dilayan suatu hari nanti.
Artikel ini diolah semula berdasarkan penulisan asal penulis bagi disesuaikan dengan format kami tanpa mengubah maksud. — Editor

