SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyokong sepenuhnya pendirian tegas Kerajaan Persekutuan yang tidak bersetuju dengan pembinaan mana-mana rumah ibadat tanpa mematuhi peraturan serta undang-undang yang ditetapkan.
Setiausaha Sulit Kanan Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dinyatakan Sabtu lalu selari dengan prinsip dan pendekatan yang sentiasa ditekankan oleh Sultan Selangor.
Menurut beliau, pendirian tersebut turut ditegaskan semula ketika Anwar menghadap baginda sehari kemudian.
“Pendirian tegas Kerajaan Persekutuan seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri adalah selari dengan prinsip dan pendekatan yang sentiasa ditekankan oleh Sultan Selangor iaitu memastikan setiap pembangunan yang dijalankan adalah mengikut undang-undang yang berkuat kuasa dan tadbir urus yang baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Munir berkata, prinsip sama turut terpakai dalam pembinaan rumah-rumah ibadat, khususnya kuil-kuil Hindu, agar ia dilaksanakan secara teratur dari sudut perundangan dan selaras dengan perancangan bandar yang mampan.
Beliau berkata, Sultan Selangor telah disembah maklum oleh Kerajaan Negeri berhubung statistik pembinaan kuil Hindu tanpa kebenaran di negeri itu sehingga 31 Januari 2026, melibatkan sebanyak 687 buah kuil.
“Ini membabitkan 388 buah kuil yang dibina di tanah milik Kerajaan dan 299 buah kuil dibina di atas tanah milik persendirian,” katanya.
Menurut Munir, jumlah kuil tanpa kebenaran itu adalah tinggi jika dibandingkan dengan populasi masyarakat India beragama Hindu di Selangor yang dianggarkan sekitar 11.3 peratus, selain tidak termasuk kuil-kuil yang telah dibina secara sah dan mendapat kelulusan pihak berkuasa negeri.
Beliau menegaskan, Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam di negeri ini sentiasa mengambil berat sensitiviti masyarakat berbilang kaum dan agama demi memelihara keharmonian negeri.
“Sultan Selangor sentiasa menekankan bahawa setiap rumah ibadat perlu dibina berdasarkan permohonan yang dibuat dan mendapat kelulusan sah daripada pihak kerajaan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta mengikut segala perundangan dan garis panduan yang telah ditetapkan,” katanya.
Tambah beliau, pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan yang sah berpotensi mencetuskan pertelingkahan antara penganut pelbagai agama serta menimbulkan ancaman terhadap keselamatan dan ketenteraman awam.
Sehubungan itu, Munir berkata, Sultan Selangor mengingatkan Kerajaan dan PBT supaya meneliti setiap permohonan pembinaan rumah ibadat secara telus, adil dan tersusun, selain mempergiat pemantauan bagi membanteras pembinaan tanpa kebenaran.
“Sultan Selangor menegaskan agar isu pembinaan kuil tanpa kebenaran ini dapat dihentikan dan dimuktamadkan kerana ia menimbulkan keresahan kepada semua pihak sejak sekian lama dan telah menjejaskan keamanan dan keharmonian masyarakat,” katanya. — Edisi 9

