Monday, July 20, 2026

Bersatu parti yang gagal… 2.0: Satu pandangan

Ironinya, selepas enam tahun peristiwa pemecatan dalam Bersatu, ia kembali berulang menjelang PRN Melaka dan PRU16 dalam tempoh setahun lebih lagi. 

Mesti Baca

AKU sebenarnya bersimpati atas apa yang sedang berlaku dalam parti Bersatu selepas 10 tahun ia ditubuhkan.

Maklum ramai kawan dan sahabat aku berada dalam parti tersebut termasuk yang berada dalam saf kepimpinan utama parti.

Memang sejak dari awal penubuhan Bersatu lagi aku tidak begitu yakin kemampuan parti ini untuk bertahan, atas banyak faktor. (Baca “Bersatu parti yang gagal?”)

Bahkan aku pernah menjangkakan Bersatu akan senasib dengan Semangat 46. Tapi setidak-tidaknya tiada perbalahan terbuka dalam kalangan pemimpin parti S46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah sebelum bubar.

Bersatu ditubuhkan tahun 2016 untuk melawan Najib Razak dan UMNO. Hasil kerjasama dengan PKR, DAP dan Amanah dalam Pakatan Harapan (PH) — bertanding dalam PRU pun pakai logo PH — akhirnya BN tumbang buat kali pertama dalam PRU14 pada 2018.

Najib letak jawatan Presiden UMNO dan BN menjadi pembangkang buat kali pertama. Muhyiddin seronok tengok UMNO tumbang. Bahkan berbelas-belas Ahli Parlimen UMNO/BN yang menang menyeberang masuk Bersatu.

Mahathir yang ketika itu sebagai Pengerusi Bersatu memimpin kerajaan PH 1.0 namun hanya bertahan 22 bulan apabila berlaku pergolakan dalaman selepas Anwar Ibrahim diberi pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong.

Mahathir menerima tekanan daripada PH agar melepaskan jawatan dan memberi laluan kepada Anwar yang ketika itu menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, PRK yang disengaja dibuat untuk memberi laluan kepada Anwar menjadi Ahli Parlimen.

Tidak tahan dengan tekanan, Mahathir berundur dan kerajaan PH 1.0 bubar pada awal tahun 2020 dan kemudian berlaku pula Langkah Sheraton.

Muhyiddin yang ketika itu menjadi Presiden Bersatu dan membentuk Perikatan Nasional (PN) bersama Pas (yang meninggalkan Muafakat Nasional) dan sokongan UMNO/BN untuk membentuk kerajaan. Beliau turut mendapat sokongan Azmin dan 10 “budak hitam” dari PKR.

Bersatu mula bergolak apabila Muhyiddin memecat Mahathir dan beberapa pemimpin lain termasuk Mukhriz Mahathir, Amiruddin Hamzah, Maszlee Malik dan Syed Saddiq pada 2020.

Kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kerajaan PN memberi kelebihan kepada Bersatu untuk mengukuhkan kedudukan. 

Bersama Pas, mereka hampir membentuk semula kerajaan pada PRU15 (walaupun ketika itu Muhyiddin sudah melepaskan jawatannya kepada Ismail Sabri), namun hanya kerana kekurangan jumlah kerusi dan gagal mendapat sokongan UMNO/BN.

Oleh kerana tindakan UMNO diketuai Zahid Hamidi menyokong PH dan Anwar dan bukan PN, maka UMNO hari ini diserang dengan pelbagai dakwaan, tuduhan, fitnah dan caci-maki.

Ironinya, selepas enam tahun peristiwa pemecatan dalam Bersatu, ia kembali berulang menjelang PRN Melaka dan PRU16 dalam tempoh setahun lebih lagi. 

Perbalahan terbuka antara ‘team’ Muhyiddin dan Timbalan Presiden, Hamzah Zainuddin semakin ketara. Bahkan, kini ada khabar menyatakan Hamzah bakal dipecat daripada Bersatu.

Pemecatan Hamzah dijangka membuka peluang kepada Faizal Azumu atau Radzi Jidin untuk memangku jawatan No. 2 dalam Bersatu.

Faizal pernah menduduki jawatan Timbalan Presiden sebelum ini tetapi memberi laluan kepada Hamzah (ketika itu Setiausaha Agung) bagi mengelak berlaku “perpecahan” parti.

Tapi aku jangka kalau Hamzah dipecat, Muhyiddin akan memilih Radzi untuk memangku tugas Timbalan Presiden, itupun kalau Azmin tidak melobi untuk melompat ke jawatan tersebut.

Harus diingat, dua nama ini adalah orang yang paling rapat dan setia dengan Muhyiddin selama ini dan sentiasa mendampingi dan mempertahankan Ahli Parlimen Pagoh itu.

Akhirnya, UMNO yang sebelum ini dianggap sudah “pupus” kini membina semula parti menerusi Rumah Bangsa sebaliknya Bersatu pula sudah menjadi parti “Berbalah”.


Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan