29.2 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Bersatu parti yang gagal?

Mesti Baca

Mesin Taip Buruk
Mesin Taip Buruk
Blogger / Kolumnis Edisi 9

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang ditubuhkan pada 2016 oleh Muhyiddin Yassin selepas dipecat daripada UMNO dengan mendapat sokongan bekas Presiden UMNO selama 22 tahun, Mahathir Mohamad.

Semua orang tahu bahawa asal penubuhan Bersatu ialah untuk melawan UMNO dan menjatuhkan Najib Razak semasa itu. Maka berbondong-bondonglah ahli-ahli UMNO yang tidak berpuas hati dengan pucuk pimpinan meninggalkan parti keramat itu untuk menganggotai parti klon UMNO itu.

Ramai juga rakan-rakan penulis yang selama ini mengeluh untuk mengisi jawatan di peringkat cawangan, bahagian apatah lagi di peringkat Majlis Tertinggi UMNO kerana ‘persaingan’ memilih mengangotai Bersatu.

Maka seronoklah mereka kerana akhirnya hasrat mereka untuk mengisi jawatan dalam parti tertunai apabila menganggotai parti baharu itu. Tidak kurang juga rakan-rakan yang bersikap talam dua muka — di luar kelihatan masih setia dengan UMNO tetapi di hati menyokong ‘perjuangan’ Bersatu.

Perjuangan Bersatu ialah melawan Najib kerana didakwa songlap duit sumbangan Raja Arab Saudi dan isu 1MDB. Itu sahaja asasnya semasa awal penubuhannya yang kemudian ditokok-tambah selepas berjaya membentuk kerajaan bersama-sama DAP, PKR dan Amanah menerusi Pakatan Harapan (PH).

Maka sejak menjadi kerajaan, ahli-ahli Bersatu bukan main seronok kerana partinya menjadi kerajaan walaupun hanya berbekal 13 kerusi Parlimen yang dimenangi berbanding PKR dan DAP yang masing-masing dengan 49 dan 45 kerusi.

Apa yang lebih penting Pengerusi Bersatu, Mahathir menjawat Perdana Menteri, manakala Presidennya, Muhyiddin mengisi jawatan Menteri Dalam Negeri.

Malahan berbelas-belas Ahli Parlimen UMNO yang menang dalam PRU-14 melompat ke Bersatu sehingga jumlah anggota parti itu dalam Parlimen naik mendadak.

Itu cerita indah semasa menjadi kerajaan. Namun semuanya berubah 360 darjah selepas 22 bulan kemudian apabila Muhyiddin membawa keluar Bersatu daripada PH dan pada masa yang sama Mahathir melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Di situlah titik permulaan ‘sengketa’ dalam Bersatu apabila Muhyiddin dipilih menjadi Perdana Menteri Kelapan dengan sokongan parti-parti ‘pembangkang’ semasa itu diketuai oleh UMNO/BN dan Pas selain sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan membentuk kerajaan Pusat atas nama Perikatan Nasional (PN).

Sementara Mahathir, selepas dipujuk rakan-rakan dalam PH, kembali menuntut jawatan Perdana Menteri yang dilepaskannya sehinggalah hari ini, dengan sokongan beberapa ahli Bersatu yang ‘setia’ bersama bekas Perdana Menteri berusia 95 tahun itu.

Sejak itu Bersatu terbahagi kepada dua kumpulan, iaitu bersama-sama Muhyiddin menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) tetapi menyokong pemimpin kleptokrat (ditujukan kepada Najib dan Zahid Hamidi yang masih berdepan dakwaan rasuah).

Manakala sebahagian lagi (penulis percaya jumlahnya lebih kecil) yang menyokong Mahathir tetapi terpaksa ‘tunduk’ kepada DAP yang lebih dominan (yang menjadi alasan Muhyiddin membawa Bersatu keluar daripada PH).

Semasa sidang Dewan Rakyat 18 Mei lepas, lima Ahli Parlimen Bersatu diketuai Dr Mahathir duduk di blok pembangkang bersama Maszlee Malik, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Mukhriz Mahathir dan Amiruddin Hamzah.

Manakala selebihnya termasuk Ahli Parlimen Bersatu yang melompat daripada UMNO dan PKR, menyokong Muhyiddin dan menyertai kerajaan PN dengan sebahagian besar daripada mereka dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri.

Perubahan tampuk pemerintahan di peringkat Pusat secara tidak langsung menjejaskan kerajaan PH di peringkat negeri apabila majoriti bertukar arah, sekali gus mengubah parti pemerintah di negeri-negeri Melaka, Johor, Perak dan terbaharu Kedah, jatuh ke tangan PN.

Advertisements

Melihat sejarah penubuhan Bersatu, penulis teringat tentang parti Semangat 46 (S46) yang ditubuhkan selepas perebutan jawatan dalam UMNO pada 1988 antara Team A yang dipimpin oleh Mahathir dan Team B diketuai Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li).

S46 ditubuhkan selepas kekalahan Ku Li kepada Mahathir untuk merebut jawatan Presiden UMNO dengan majoriti 43 undi. Tidak berpuas hati dengan kekalahan itu, Ku Li telah mendakwa UMNO dan memenangi kes ini, menyebabkan pendaftaran UMNO dilucutkan.

Ku Li kemudian menubuhkan S46 bersama Rais Yatim manakala Mahathir menubuhkan UMNO Baru ketika itu, untuk menggantikan UMNO yang diharamkan sebelum itu.

Berbanding Bersatu, ternyata S46 bergerak secara sejahtera tanpa ada sengketa perebutan jawatan dalam parti baik di peringkat Pusat mahupun di peringkat negeri dan parti itu dikatakan mempunyai lebih 400,000 ahli di peringkat akar umbi.

Bagaimanapun, selepas bertanding dalam dua PRU, Ku Li dan Rais telah membuat keputusan untuk menyertai semula UMNO pada 1996 bersama lebih 200,000 pengikutnya manakala selebihnya menyertai Pas, menyebabkan parti yang ditubuhkan kerana “amarah dan dendam” itu terkubur.

Sebalikya Bersatu yang baharu berusia setahun jagung, menyertai PRU buat kali pertama dan menang, ternyata tidak mempunyai “kekuatan” sepertimana S46.

Parti itu sudah berpecah dan goyang hanya selepas empat tahun penubuhan, malah sebelum pemilihan agung ‘sebenar’ parti diadakan.

Bersatu pernah “dimatikan” sementara oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada Mac 2018 tetapi kemudian ditarik balik selepas Bersatu menjadi kerajaan di bawah PH.

Justeru, sengketa terbaharu yang berlaku hari ini menyaksikan Pengerusinya, Mahathir dan Presiden, Muhyiddin masing-masing berada di dalam kapal yang berbeza menyebabkan Bersatu terumbang-ambing dan kebanyakan ahli di peringkat akar umbi (yang jumlahnya dikatakan tidak seramai ahli S46) berada dalam kekeliruan.

Tidak hairan, ramai pemerhati politik termasuk penulis meramalkan Bersatu bakal dibubarkan menjelang PRU-15 atau mungkin lebih awal.

Cadangan untuk mendaftar Perikatan Nasional (PN) sebagai sebuah pakatan politik yang sah dikatakan usaha untuk ‘menyelamatkan’ Muhyiddin dan Bersatu namun ditolak oleh UMNO/BN dan Pas.

Yelah, mana mungkin UMNO/BN yang mempunyai 41 kerusi di Parlimen mahu “dimakan” oleh Bersatu yang mempunyai jumlah kerusi lebih kecil di Parlimen — 36 kerusi (ditolak 5 yang menyertai blok pembangkang – PH) dan ditambah 10 kerusi dari bekas PKR (team Azmin Ali) — tidak, tidak mungkin.

Jadi, andai PN gagal didaftarkan maka kedudukan Bersatu juga pastinya berada di hujung tanduk apatah lagi menjelang pemilihan parti yang menyaksikan Muhyiddin bakal dicabar oleh Mukhriz Mahathir manakala Mahathir pula sudang menang tanpa bertanding jawatan Pengerusi Bersatu (dengan menolak kenyataan ROS yang mengesahkan peletakan jawatannya sebelum ini).

Kesimpulannya, Bersatu gagal menyatukan ahli-ahlinya sendiri, gagal memecat pemimpin yang didakwa pengkhianat (kerana mereka sendiri saling menuduh), gagal ‘menjinakkan DAP’ semasa dalam PH dan menjadi parti yang “tidak bersatu”.

Andai ada kejayaan yang boleh dibanggakan cuma terletak pada Muhyiddin yang berjaya meyakinkan pemimpin lawan untuk bersama-samanya membentuk “kerajaan campuran” dan kepimpinan Ahli Parlimen Pagoh itu sendiri di mata rakyat dalam tempoh 3 bulan selepas mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Mahathir.

Selebihnya, Bersatu hanyalah sebuah parti yang gagal…

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan