AHLI Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menganggap kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang mendesak Presiden UMNO diganti sebagai amat keterlaluan.
Beliau berkata, Hassan sepatutnya cermin diri sendiri dan sepatutnya mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menukar menteri-menteri daripada PKR yang gagal.
Puad yang juga ADUN Rengit berkata, pemilihan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO adalah hak parti itu dan tidak wajar mana-mana pihak terutama daripada parti lain mencampurinya.
“UMNO tidak campur urusan PKR bila Rafizi (Ramli) menang jawatan Timbalan (Presiden) PKR yang kononnya tidak telus.
“Hassan jangan hipokrit soal terpalit, UMNO turut terpalit dengan formula kosong Rafizi. Ringgit tetap jatuh. Harga barang tidak turun. Jangan buta sebelah,” bidas Puad menerusi Facebooknya hari ini.
Semalam, Hassan dilapor berpendapat UMNO perlu diterajui muka baharu dan tidak hanya ‘menumpang dahan’ Pakatan Harapan (PH) pimpinan Anwar yang diakuinya ‘rapuh’ berdepan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
Menurutnya, rombakan pemimpin baharu yang segar, berintegriti dan berkarisma dalam parti itu penting untuk mendapatkan undi Melayu.
Puad berkata, Anwar sepatutnya menukar Rafizi selaku Menteri Ekonomi yang sehingga kini gagal menangani ekonomi rakyat selain sekadar mendaftar Pangkalan Data Utama (PADU).
“Jangan lupa Premier Sarawak juga memberi komen negatif terhadap Menteri Pendidikan dari PKR. Patut Hassan desak PMX (Anwar) buat penilaian,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin turut membidas Hassan yang disifatkan sebagai “seorang yang tiada nama dalam arena politik terkini”.
“Siapa Hassan Karim ini? Saya yakin dia sendiri pun sedar yang dia tiada nama pun dalam arena politik terkini.
“Jadi mungkin kenyataan ini adalah kenyataan minta perhatian, minta spotlight daripada orang awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Kerajaan Perpaduan gandingan Anwar dan Zahid masih kuat sehingga menarik beberapa ahli Parlimen pembangkang untuk menyokong kerajaan.
“Nak kata Kerajaan Perpaduan makin lemah tidak juga. Kalau makin lemah, tidak lah ramai ahli MP (Ahli Parlimen) pembangkang masuk ke kerajaan.
“Sebab mereka yakin gabungan Zahid-Anwar kuat lah, mereka berani untuk sertai Kerajaan Perpaduan,” katanya. – Edisi 9

