27.7 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 30, 2024

Enam syarikat, 3,792 stesen minyak terlibat projek rintis SKDB 2.0

Mesti Baca

SEBANYAK 3,792 stesen minyak terlibat dalam projek rintis Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 (SKDB 2.0) bagi Sektor Pengangkutan Darat (Barangan) yang boleh digunakan oleh enam syarikat perintis.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, enam syarikat perintis yang menerima fleet card itu ialah Sim Yew Enterprise Sdn. Bhd., Rantau Panjang Haulage Sdn. Bhd., Mun Chuen Transport Sdn. Bhd., Tan Swee Hee Sdn. Bhd., Multimodal Freight Sdn. Bhd. dan Perceptive Logistics Sdn. Bhd.

Beliau berkata, usaha rintis tersebut dijangka dapat memberi maklum balas dan analisis yang tepat kepada KPDN dalam memperkemas mekanisme bagi penyasaran semula subsidi diesel.

“Selain itu, langkah awal ini juga dapat menguji keberkesanan Sistem MySubsidi Diesel dan juga sistem fleet card syarikat-syarikat minyak sebelum dilaksanakan kepada keseluruhan industri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan hari pertama projek rintis SKDS 2.0 bagi Sektor Pengangkutan Darat (Barangan) di Sepang, Selangor hari ini.

Armizan berkata, mekanisme penggunaan fleet card tersebut adalah antara usaha kerajaan untuk beralih daripada sistem analog skid tank.

Katanya, ia juga bagi memastikan subsidi secara bersasar dapat dilaksana secara bersepadu selain dapat memastikan kes ketirisan dan penyeludupan pada tahap yang paling minimum.

“Kerajaan sentiasa komited dalam memastikan keperluan sebenar Sektor Pengangkutan Darat (Barangan) bagi membantu mengurangkan kesan kos pengangkutan agar tiada kenaikan kos berganda.

Advertisements

“Ini khususnya kepada harga barangan selain merangka pelan penyasaran semula subsidi yang cekap dan berkesan kepada semua golongan sasar khususnya di bawah bidang kuasa KPDN,” katanya.

Sebelum ini kerajaan bersetuju untuk melaksanakan penyasaran semula subsidi diesel pada suku kedua tahun ini yang mana subsidi diesel tidak akan diberikan secara pukal di stesen-stesen minyak.

Melalui inisiatif penyasaran semula subsidi diesel tersebut, kerajaan mempertimbangkan pemberian subsidi dengan kadar khas kepada Sektor Pengangkutan Darat bagi sub-sektor awam dan sub-sektor barangan melalui pelaksanaan SKDS 2.0.

Armizan berkata, sebelum pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel tersebut yang tarikhnya belum ditentukan, KPDN merintis usaha untuk menguji Sistem MySubsidi Diesel berkenaan.

Mei tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan mekanisme fleet card SKDB bagi memastikan tiada lagi ketirisan dalam pemberian subsidi kepada sektor pengangkutan darat.

Katanya, ia susulan berlaku ketirisan subsidi diesel apabila penggunaannya melonjak berbanding jumlah kenderaan berdaftar di negara ini.

“Ini kerana sistem subsidi diesel ini harus diperbaiki. Tanggungan subsidi negara melonjak kepada RM13 bilion pada tahun 2022, penggunaan diesel melonjak 37.7 peratus iaitu 6.1 bilion liter pada 2019 (prapandemik) kepada 8.4 bilion liter tahun 2022 (pascapandemik),” katanya seperti dilapor media. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Mahkamah lulus permohonan bekas kakitangan Utusan Melayu

SELEPAS hampir lima tahun tiada sebarang berita mengembirakan buat bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang ditamatkan perkhidmatan selepas...

Lagi Artikel Berkaitan