27.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Muhyiddin nafi terlibat kes pemberian kontrak SPANCO

Mesti Baca

BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan sekeras-kerasnya penglibatan beliau dalam isu pemberian kontrak penyelenggaraan kenderaan kerajaan kepada SPANCO.

Muhyiddin berkata, tohmahan jahat itu sehingga kini masih berlegar dalam media massa dan media sosial tanpa butiran lengkap bagaimana beliau terbabit dalam salah laku tersebut.

Beliau menggesa semua pihak tidak menyamakan kedudukannya dengan Perdana Menteri Ke-10 yang juga merupakan Menteri Kewangan.

“Janganlah membuat tuduhan melulu terhadap saya. Sebagai Perdana Menteri antara Mac 2020 dan Ogos 2021, saya tidak terlibat dalam sebarang pemberian kontrak kerajaan yang diuruskan oleh Kementerian Kewangan.

“Jangan samakan kedudukan saya dengan Perdana Menteri ke-10 yang juga merupakan Menteri Kewangan. Saya tahu kedudukan saya,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Muhyiddin berkata, tuduhan tersebut sama seperti sebelum ini konon beliau menyeleweng wang negara bernilai ratusan bilion ringgit yang sehingga kini tidak dapat dibuktikan oleh mereka yang menuduhnya.

Advertisements

Beliau juga, katanya, telah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tuduhan rasuah berkaitan projek Janawibawa.

Pihak pendakwa merayu dan rayuan akan didengar oleh Mahkamah Rayuan pada 28 dan 29 Februari 2024.

“Saya berdoa semoga saya mendapat keadilan di mahkamah.

“Ini adalah sebahagian daripada siri pembunuhan karakter yang dibuat oleh musuh politik saya yang bertujuan untuk menjejaskan reputasi saya,” tegas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu.

Berhubung kontrak SPANCO, Muhyiddin berkata, kerajaan sepatutnya mendedahkan kenapa surat niat (LOI) yang diberikan kepada sebuah syarikat lain oleh kerajaan Pakatan Harapan sebelum itu dibatalkan.

Beliau percaya maklumat mengenainya ada di Kementerian Kewangan dan pada masa yang sama tarikh pemberian kontrak kepada SPANCO juga perlu didedahkan. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Politeknik Sultan Idris Shah pertahan gelaran FIRA Malaysia

POLITEKNIK Sultan Idris Shah (PSIS), Selangor berjaya mempertahankan kejuaraan keseluruhan Piala Federation of International Robot Soccer Association (FIRA) Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan