31 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 30, 2024

Parti-parti kerajaan sepakat pertahan ‘Politik Kesederhanaan’

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

KESEMUA parti dalam kerajaan perpaduan hari ini menyatakan kesepakatan untuk terus mempertahankan orientasi dan pendekatan ‘Politik Kesederhanaan’ sebagai asas kesejahteraan dan keharmonian masyarakat berbilang agama dan kaum.

Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ketetapan itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan Malaysia yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Seri Perdana, Putrajaya hari ini.

Menurutnya, dengan pendekatan kesederhaan bagi menjamin kestabilan, Kerajaan Perpaduan akan dapat memberi tumpuan terhadap dasar-dasar yang boleh mensejahterakan rakyat.

Katanya, ini terutamanya bagi menangani kos sara hidup, menjamin peluang-peluang pekerjaan yang berkualiti kepada rakyat dan memastikan kestabilan ekonomi negara.

Beliau berkata, mesyuarat memandang serius tindakan sesetengah pihak yang memainkan sentimen rakyat sehingga meningkatkan suhu perkauman dan keagamaan yang mampu mengancam keharmonian negara dan kerukunan masyarakat pelbagai kaum.

“Mesyuarat sepakat agar kerajaan bertindak tegas menurut lunas-lunas perundangan dan tidak berkompromi dengan sebarang tindakan melampau yang boleh menjejaskan kestabilan negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hadir dalam mesyuarat tersebut kesemua pucuk pimpinan parti-parti kerajaan perpaduan.

Advertisements

Asyraf Wajdi yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, dalam mesyuarat tersebut turut membincangkan persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.

Katanya, mesyuarat bersetuju untuk menyerahkan kepada kepimpinan tertinggi untuk menamakan calon yang akan mewakili parti-parti Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, penyelarasan dan penyeragaman gerak kerja jentera PRK parti-parti Kerajaan Perpaduan Malaysia akan dipengerusikan bersama oleh Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Steven Sim.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Kuala Kubu Baharu diadakan pada hari Sabtu, 11 Mei dengan hari penamaan calon ditetapkan 27 April sementara hari pengundian awal pada 7 Mei.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu terpaksa diadakan ekoran kematian penyandangnya, mendiang Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.

Kee Hiong, 58, yang menyandang kerusi itu sejak 2013, meninggal dunia setelah bergelut melawan kanser sejak beberapa tahun lepas. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

8000 pelari sertai Twincity Marathon 2024 

TWINCITY Marathon 2024 telah mencatatkan jumlah peserta yang mengagumkan, dengan lebih daripada 8000 peserta daripada 24 negara menyertainya. Twincity Marathon, sebuah acara...

Lagi Artikel Berkaitan