28.6 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 30, 2024

Ekor helikopter AW139 dikesan, kotak hitam pesawat ditemui

Mesti Baca

KOTAK hitam helikopter Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) AW139 (M72-01) yang melakukan pendaratan cemas ketika melakukan latihan menyelamat pada 5 Mac lalu di sekitar perairan Pulau Angsa, Kuala Selangor telah ditemui hari ini.

Ketua Pengarah Mariyim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata, kotak hitam berkenaan ditemui pasukan penyelam penyelamat agensi itu selepas misi pencarian memasuki hari ke-44.

Katanya, ia berikut ekor pesawat helikopter terbabit yang berjaya dikesan di kedudukan 1.9 batu nautika selatan Pulau Angsa iaitu kira-kira 760 meter dari lokasi nahas berlaku.

“Setelah berjaya dinaikkan dari dasar laut, kotak hitam berkenaan telah dibawa ke makmal untuk dianalisa data rakaman bagi mengetahui punca sebenar insiden yang berlaku.

“Pihak Maritim Malaysia menjangkakan keputusan data akan diperoleh dalam masa terdekat berikutan keadaan kotak hitam tidak mengalami sebarang kerosakan yang teruk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kotak hitam helikopter AW139 dibawa ke makmal untuk dianalisis.

Terdahulu operasi pencarian kotak hitam berkenaan membabitkan 21 penyelam berhadapan dengan kesukaran akibat arus deras di dasar laut, selain jarak penglihatan di dalam air yang terhad akibat dasar laut berlumpur.

Advertisements

Selain penyelam penyelamat Maritim Malaysia yang dikoordinasikan Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team), misi pencarian kotak hitam turut disertai beberapa agensi lain.

Antaranya, kru sonar Pusat Hidrografi Nasional (PHN) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB), pihak penyedia perkhidmatan pesawat Maritim Malaysia iaitu Galaxy (M) Sdn Bhd, Bahagian Operasi Udara Maritim Malaysia serta kru kapal dan bot Maritim Negeri Selangor.

Dalam kejadian 5 Mac lalu, helikopter AW 139 dengan pendaftaran pesawat M72-01 milik Maritim Malaysia melakukan pendaratan cemas di dalam laut di Perairan Pulau Angsa, Selangor pada kira-kira pukul 9.55 pagi.

Pesawat tersebut diterbangkan oleh Leftenan Komander (M) Tengku Mohd Nizam Tengku Zakaria dan Leftenan Komander (M) Mohamad Azrol Saidi.

Turut berada di dalam helikopter berkenaan ialah seorang kru udara Pegawai Waran I (M) John Ibno dan seorang Perenang Penyelamat, Bintara (M) Muhamad Nurhayyat Hashim.

Kesemua mangsa diselamatkan oleh pemancing yang kebetulan berada di kawasan tersebut. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Kupang PD masih belum selamat dimakan, 81 penternak terjejas

KUPANG dari perairan Port Dickson, Negeri Sembilan masih belum selamat dimakan kerana masih menunjukkkan kandungan biotoksin yang tinggi. Jabatan Perikanan...

Lagi Artikel Berkaitan