33.9 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 5, 2024

Sultan Nazrin berkenan letak batu asas IPTTI, URCC UPSI

Mesti Baca

SULTAN Perak, Sultan Nazrin berkenan berangkat ke Majlis Perletakan Batu Asas bagi Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (IPTTI) dan Pusat Komuniti dan Kediaman UPSI (URCC) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Baginda menandatangani perletakan batu asas berkenaan di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City pagi ini.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, IPTTI ditubuhkan bagi menjunjung hasrat baginda yang cakna terhadap perkembangan dasar serta transformasi pendidikan tahfiz dan turath Islami yang selaras dengan perkembangan terkini.

Beliau berkata, dengan tajaan hampir RM14 juta daripada Yayasan Rafulin dan pelbagai pihak, institut tersebut bakal menjadi institusi penyelidikan dan pendidikan antarabangsa yang merangka dasar-dasar terkini dalam bidang tahfiz dan turath.

Selain itu, katanya, IPTTI juga bakal mempelopori pedagogi yang berteraskan teknologi semasa, serta menjadi markas diskusi ilmu tahfiz dan turath di peringkat antarabangsa.

“IPTTI adalah penjenamaan semula Akademi Pondok Bitara yang bangunannya dibangunkan sepenuhnya berdasarkan dana wakaf melalui inisiatif Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS UPSI),” katanya semasa berucap pada majlis tersebut.

Hadir sama  Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Datuk  Azmir Shah  Zainal Abidin; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak,  Khairudin Abu Hanipah; Pro Canselor UPSI, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Zakri Abdul Hamid serta  Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI, Puan Sri Rohani Parkash  Abdullah.  

Md Amin berkata, gagasan penubuhan IPTTI bermula oleh cetusan idea mantan Naib Canselor UPSI, Allahyarham Prof Dr Zakaria Kasa untuk mewujudkan Akademi Pondok Bitara.

Advertisements

Beliau berkata, penubuhan akademik tersebut bagi memperkasakan pendidikan pondok yang memberikan penekanan kepada Pendidikan Ilmu Turath (Kitab Kuning) dalam konteks pendidikan sepanjang hayat.

Selain itu, katanya, ia juga memberikan tempat kepada pelajar lepasan pondok yang mempunyai pencapaian cemerlang menerusi pensijilan yang akan ditawarkan.

“Institut ini juga akan membantu pemuliharaan manuskrip dan kaedah pembelajaran kitab-kitab turath yang penulisannya mengikut tradisi ulamak terdahulu dari zaman imam-imam besar seperti Imam Shafie, Imam Malik, Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad.

“Malah akan bekerjasama erat dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak yang sedang giat memulihara khazanah ulamak nusantara,” katanya.

Manakala URCC pula, jelas Md Amin, adalah projek pembinaan asrama pelajar, Pusat Antarabangsa dan Mobiliti, Pusat Kemahiran Bahasa, ruang-ruang sokongan dan infrastruktur luaran di Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS).

Katanya, projek URCC bertujuan menampung keperluan fizikal pelajar yang makin meningkat seiring dengan jumlah kemasukan pelajar yang tidak lagi dapat ditampung oleh kolej-kolej kediaman.

“URCC mampu menampung lebih 2,000 pelajar antarabangsa dan tempatan selaras dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT) dalam  melestarikan dunia Pendidikan Tinggi negara,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

USANITA pilih Awal Ashaari sebagai wajah untuk 2024

ATAS komitmen terbaik yang diberikan dalam memberikan kerjasama terhadap pelbagai program yang dijayakan oleh Usanita Sdn Bhd (USANITA), pelakon...

Lagi Artikel Berkaitan