27.4 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 30, 2024

Mahasiswa UM santuni komuniti mualaf, asnaf pedalaman Sabah

Mesti Baca

SERAMAI 24 mahasiswa Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM) baru-baru ini telah menyantuni hampir 300 komuniti mualaf dan asnaf masyarakat Bajau dan Dusun di pedalaman Sabah.

Program yang berlangsung di Pitas dan Ranau itu bertujuan membentuk insan berperikemanusiaan dan peduli dengan masyarakat sekeliling dalam kalangan mahasiswa.

Pengarah program, Amir Haidar Abdul Samad berkata, idea penganjuran program tersebut muncul setelah mendengar taklimat daripada pertubuhan Care4Asnaf.

“Apabila diberi peluang untuk bekerjasama bersama Care4Asnaf dalam menjayakan misi kemanusiaan di Sabah, kami tidak melepaskannya kerana melihatnya sebagai satu peluang baik dalam pembinaan jati diri kami sebagai graduan yang akan menyertai masyarakat kelak,” katanya.

Selain Care4Asnaf, program dinamakan Mahabbah Care4Ummah 5.0 itu turut dijayakan oleh Little Caliph International Sdn. Bhd., dan Universiti Malaysia Sabah Four Wheel Drive Volunteer Club (UMS 4WDVC), yang membantu aspek logistik dan pengangkutan.

Advertisements

Amir Haidar berkata, program tersebut bukan sahaja bertujuan menyampaikan dakwah kepada komuniti terbabit tetapi turut menitikberatkan aspek perkongsian ilmu dan bakti kepada mereka yang kurang bernasib baik.

Katanya, antara aktiviti yang dijalankan termasuk bengkel solat, pengurusan jenazah, tilawah al-Quran, pengagihan bantuan makanan serta bantuan Kembali ke Sekolah.

“Kami juga berpeluang menyelami kehidupan komuniti pedalaman yang menghadapi pelbagai cabaran dan kesukaran, terutamanya sebagai seorang yang baru sahaja menjalani kehidupan sebagai seorang muslim,” katanya.

Program tersebut, katanya, bukan sahaja memberi manfaat kepada penerima bantuan tetapi juga bagi sukarelawan yang menyertainya.

“Paling asas, mereka telah belajar erti bersyukur, apabila melihat keadaan komuniti yang memiliki serba kekurangan berbanding mereka yang sedang menuntut di menara gading di ibu kota,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Mahkamah lulus permohonan bekas kakitangan Utusan Melayu

SELEPAS hampir lima tahun tiada sebarang berita mengembirakan buat bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang ditamatkan perkhidmatan selepas...

Lagi Artikel Berkaitan