Friday, June 5, 2026

UMT, Kolej Ketengah bersama perkasa pendidikan pelancongan

Kerjasama itu menggunakan pendekatan Stackable Micro-credential yang membolehkan pelajar mengikuti kursus tertentu secara fleksibel sebelum mendaftar sebagai pelajar sepenuh masa.

Mesti Baca

UNIVERSITI Malaysia Terengganu (UMT) dan Kolej Ketengah Sdn. Bhd. memeteraian kerjasama strategik bagi memperkukuhkan laluan pendidikan yang lebih fleksibel serta memperkasakan pembangunan modal insan, khususnya dalam bidang pelancongan.

Melalui kerjasama itu, kedua-dua institusi pendidikan tinggi (IPT) itu akan memberi tumpuan kepada pembangunan kursus jangka pendek, silibus dan modul latihan, serta pensijilan kemahiran profesional.

Naib Canselor UMT, Profesor Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata, kerjasama itu menggunakan pendekatan Stackable Micro-credential yang membolehkan pelajar mengikuti kursus tertentu secara fleksibel sebelum mendaftar sebagai pelajar sepenuh masa.

“Langkah ini bukan sahaja memperluaskan akses pendidikan tinggi, malah melahirkan graduan terampil yang memenuhi piawaian global melalui kursus profesional seperti Open Water Scuba Diving dan Kursus Keselamatan Air yang mana graduan pelancongan UMT kini diiktiraf di peringkat antarabangsa termasuk di Maldives, Australia dan New Zealand,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara UMT dan Kolej Ketengah di Kuala Nerus, Terengganu baru-baru ini.

Pada majlis itu Mohd Zamri menandatangani bagi pihak UMT manakala Kolej Ketengah diwakili Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman. Hadir sama, Pengerusi Lembaha Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Datuk Rozi Mamat dan Pengurus Besar KETENGAH, Datuk Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa.

Beliau berkata, di bawah perjanjian tersebut, graduan Diploma Pengurusan Pelancongan Islam dari Kolej Ketengah dapat menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan (Dengan Kepujian) di UMT melalui mekanisme pemindahan kredit.

Sementara itu, Ahmad Razif berkata, kolaborasi itu merupakan satu anjakan penting bagi Kolej Ketengah yang bernaung di bawah KETENGAH untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan mereka.

“Kerjasama ini merangkumi perkongsian kepakaran, penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta penempatan latihan industri yang akan memberi manfaat besar kepada pelajar dan staf kedua-dua pihak,” katanya.

Beliau juga berharap inisiatif itu dapat melahirkan pelajar yang lebih kompeten dan holistik untuk mendepani cabaran industri masa kini.

Selain aspek akademik, pelajar lepasan Kolej Ketengah yang menyambung pengajian di UMT turut berpeluang menyertai program pertukaran pelajar antarabangsa ke universiti rakan di Korea Selatan dan Thailand, serta program mobiliti berkredit ke luar negara pada tahun kedua pengajian.

Kerjasama tersebut dijangka akan menyokong aspirasi Malaysia MADANI dalam membangunkan insan berilmu dan berdaya saing, sekali gus merapatkan jurang antara dunia pendidikan dan industri. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan