DUA bekas pemimpin UMNO, Datuk Seri Hisyammuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin yang kembali ke pangkuan parti itu menyatakan kesediaan mereka untuk terus berkhidmat dengan memperkasakan semula UMNO.
Hishammuddin, bekas Naib Presiden UMNO yang digantung keahliannya berkata, beliau akan terus berjuang dan berkhidmat untuk parti dengan amanah dan berprinsip.
Beliau berkata, ini setelah penggantungannya selama enam tahun dalam parti itu telah ditarik balik, semalam.
“Alhamdulillah, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) my UMNO telah menarik semula penggantungan saya selepas tiga tahun.
“Saya akan terus berjuang dan berkhidmat. Memikul amanah dengan komitmen dan prinsip. Dulu, Kini, Selamanya,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.
Hishammuddin yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Sembrong digantung keahlian selama enam tahun sejak Januari 2023 atas dakwaan melanggar perlembagaan parti.
Malam tadi, MKT UMNO memutuskan seramai 6,252 bekas pemimpin dan ahli UMNO termasuk di peringkat bahagian dan cawangan diterima kembali ke pangkuan parti itu di bawah gagasan Rumah Bangsa.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, antara bekas pemimpin tertinggi parti yang diterima kembali tanpa syarat ialah bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; bekas Ahli Majlis Tertinggi, Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.
Sementara itu Khairy berkata, beliau menerima keputusan tersebut dengan penuh rasa rendah diri dan kesyukuran, serta menyedari amanah besar yang hadir bersamanya.
Jelas beliau, tempoh tiga tahun berada di luar parti telah memberi ruang untuknya bermuhasabah dan memperbaiki kelemahan diri.
“Saya kembali bukan dengan sebarang tuntutan, tetapi dengan tekad untuk berkhidmat dan menyumbang sebaik mungkin kepada kekuatan UMNO.
“Saya bersedia untuk bekerjasama dengan semua peringkat kepimpinan dan akar umbi demi memulihkan keyakinan rakyat terhadap parti.
“Semoga keputusan ini menjadi titik permulaan baharu untuk kita melangkah ke hadapan dengan lebih bersatu, matang dan berwibawa,” katanya.
Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau dipecat daripada parti pada Januari 2023 kerana dikatakan melanggar perlembagaan parti.
Khairy berkata, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas kebijaksanaan serta pertimbangan yang diberikan untuk menerima kembali permohonan beliau ke dalam parti.
Beliau turut berterima kasih kepada seluruh MKT UMNO yang telah membuat keputusan tersebut dengan penuh hikmah dan keinsafan terhadap masa depan perjuangan parti. — Edisi 9

