Sunday, June 14, 2026

UPSI, MyTutor Academy kukuhkan jaringan universiti dan industri

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) dengan MyTutor Academy Sdn. Bhd. bagi memperkukuh jaringan strategik antara universiti dan industri dalam bidang inovasi, latihan serta pembangunan modal insan.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, kerjasama itu dijangka membuka ruang kolaborasi lebih luas termasuk menghubungkan ekosistem pembelajaran digital Home2U UPSI dengan platform MyTutor bagi memperluas akses pendidikan secara fleksibel kepada masyarakat.

Beliau berkata, inisiatif itu juga merangkumi cadangan pelantikan pensyarah adjung daripada industri bagi merapatkan jurang antara teori akademik dan amalan profesional.

“Kerjasama ini turut meneroka pembangunan platform perkhidmatan bersepadu yang membolehkan pelajar, graduan dan komuniti mendapatkan akses kepada latihan, bimbingan serta peluang pekerjaan dalam satu ekosistem digital yang komprehensif,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis berkenaan yang berlangsung di Bangunan Canselori, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI, Tanjung Malim, Perak semalam.

Pada majlis itu, Md Amin menandatangani bagi pihak UPSI manakala MyTutor Academy diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Hafiz Kamaruddin.

Menurut Md Amin, kerjasama berkenaan juga dilihat berpotensi memperkukuh peranan jaringan alumni UPSI dalam aspek pembangunan kerjaya, keusahawanan dan jaringan profesional.

“Melalui pemeteraian MoA ini turut membuka peluang kepada graduan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi termasuk Sarjana dan Doktor Falsafah,” ujar beliau.

Sementara itu, Mohd Hafiz berkata, pihaknya komited untuk menjadikan kerjasama itu sebagai platform memperkasa pembangunan bakat dan kebolehpasaran graduan selari dengan keperluan industri semasa.

Katanya, melalui kolaborasi tersebut, pihaknya melihat potensi besar untuk menggabungkan kepakaran akademik UPSI dengan pengalaman industri MyTutor dalam menyediakan latihan yang lebih praktikal, relevan dan berimpak tinggi kepada pelajar serta graduan.

“Kami juga percaya pendekatan berasaskan teknologi dan pembelajaran fleksibel mampu memperluas akses pendidikan kepada lebih ramai lapisan masyarakat, sekali gus menyokong agenda pembangunan pendidikan negara,” katanya.

Selain itu, kedua-dua pihak turut membincangkan pelaksanaan program berimpak tinggi seperti ‘bootcamp’, kem musim panas serta program pembangunan pelajar, di samping meneroka inisiatif pendidikan berteraskan tahfiz dan pengajian agama.

MyTutor Academy dalam pada itu menyatakan hasrat menjadikan UPSI sebagai lokasi penganjuran program komuniti berskala kecil yang mampu menghidupkan suasana kampus serta memberi nilai tambah kepada warga universiti. – Oleh BAZLI RAZAK/Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan