NAIB Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff menzahirkan penghargaan kepada pengamal media yang sentiasa bersama universiti itu termasuk ketika berdepan detik sukar, khususnya ketika insiden yang meragut nyawa 15 pelajar pada Jun tahun lalu.
Menurut beliau, dengan sokongan dan liputan media pada ketika itu telah banyak membantu memulihkan semangat warga universiti yang berdepan dengan kesedihan mendalam.
“Pasukan media sentiasa bersama kami dalam susah dan senang serta membantu mengangkat kembali moral warga UPSI ketika berdepan saat yang amat mencabar.
“Kami di UPSI sangat terhutang budi kepada pihak media kerana merekalah yang menjadi penghubung kami dengan masyarakat waktu kejadian.
“Anda (media) menyampaikan berita dengan begitu adil dan tepat hingga menyebabkan kami rasa kuat dan tidak bersendirian dalam berhadapan tragedi yang cukup mendukakan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Iftar Silaturahim UPSI Bersama Media dan Rakan Strategik 2026 di Kuala Lumpur, petang semalam.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.
Md Amin berkata, UPSI turut menghargai sumbangan media yang membantu mempromosikan pelbagai inisiatif serta kejayaan universiti kepada masyarakat.
“Bagi pihak UPSI, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakan-rakan wartawan dan rakan industri kerana berkat doa, bantuan dan promosi daripada kalian, UPSI kini menjadi sebuah universiti yang ternama, tersohor dan terkemuka,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, hubungan erat antara universiti, media dan rakan industri terus menjadi pemangkin kepada kejayaan UPSI di peringkat global.
Menurutnya, UPSI kini berada pada kedudukan 101 terbaik dunia dalam bidang pendidikan, selain menduduki tangga ke-156 terbaik di Asia dalam QS World University Rankings Asia 2026.
UPSI juga berada pada kedudukan ke-98 dunia dalam penarafan UI GreenMetric yang menilai komitmen institusi terhadap kelestarian alam sekitar dan pengurusan tenaga hijau.
Md Amin berkata, universiti itu akan terus memperkukuh kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk industri bagi memastikan peranan institusi pendidikan tinggi dalam menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara dapat diperkasa.
Beliau turut menegaskan bahawa UPSI akan terus kekal dengan fungsi asasnya sebagai universiti untuk masyarakat dan industri, selaras dengan legasi penubuhannya yang bermula sejak era Sultan Idris Training College (SITC) pada 1922.
“UPSI tidak boleh berdiri sendiri. Universiti ini merupakan institusi masyarakat yang telah wujud lebih 100 tahun dan akan terus berperanan melahirkan generasi pendidik serta pemimpin masa depan negara,” ujar beliau. – Oleh BAZLI RAZAK/Edisi 9

