BEBERAPA hari lalu, negara dikejutkan dengan tragedi kemalangan jalan raya yang melibatkan mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Lebih menyedihkan apabila kemalangan tersebut telah meragut 15 nyawa yang sedang dalam perjalanan pulang ke kampus selepas menyambut Hari Raya Aidiladha bersama keluarga tercinta.
Insiden seperti ini harus menjadi peringatan besar kepada semua pihak bahawa keselamatan pelajar, khususnya ketika menggunakan pengangkutan awam, adalah satu perkara yang tidak boleh dikompromi.
Nyawa mereka bukan sekadar statistik. Ia melibatkan masa depan keluarga, masyarakat dan negara.
Sudah tiba masanya semua pihak termasuk institusi pendidikan, penyedia perkhidmatan pengangkutan, pihak berkuasa dan ibu bapa mengambil langkah lebih proaktif dan menyeluruh dalam memastikan aspek keselamatan diberi keutamaan sepenuhnya.
Ada universiti yang telah mula mengambil inisiatif memastikan kenderaan yang digunakan untuk program luar kampus atau perjalanan pelajar adalah selamat dan berdaftar.
Namun, inisiatif ini masih bergantung kepada dasar masing-masing dan belum menjadi amalan menyeluruh.
Tidak boleh dinafikan, terdapat kenderaan yang masih digunakan walaupun tidak diselenggara dengan baik hanya kerana sudah “biasa tiada masalah.”
Namun, kita tidak boleh bergantung kepada nasib semata-mata. Malang tidak berbau, dan sedikit kecuaian boleh membawa kepada tragedi yang besar.
Lebih membimbangkan apabila terdapat aduan daripada mahasiswa yang merasakan kenderaan yang digunakan tidak selamat, namun aduan itu tidak diambil serius.
Malah, ada juga aduan tentang pemanduan berbahaya oleh pemandu, tetapi sering dipandang ringan atas alasan kekurangan pemandu berpengalaman atau terikat dengan bajet yang terhad.
Keadaan ini tidak seharusnya berlaku kerana peruntukan pengangkutan sewajarnya meliputi aspek penyelenggaraan dan keselamatan minimum.
Terdapat juga pandangan yang mencadangkan agar institusi pendidikan lebih teliti dalam memilih syarikat pengangkutan termasuk menilai latar belakang pemandu dan sejarah penyelenggaraan kenderaan.
Langkah ini penting kerana kebanyakan pelajar memilih menaiki bas atau van atas faktor kos yang lebih murah berbanding pengangkutan lain.
Ibu bapa pula semakin bimbang terhadap keselamatan anak-anak mereka setiap kali perlu menaiki bas pulang ke kampus.
Ada yang sanggup memandu jauh demi memastikan anak-anak selamat tiba di kampus.
Namun, tidak semua ibu bapa mempunyai kemampuan atau masa untuk berbuat demikian, terutamanya jika terikat dengan komitmen kerja atau masalah kesihatan.
Perlu diingat, kemalangan bukan hanya berpunca daripada pemandu bas atau syarikat pengangkutan semata-mata.
Pengguna jalan raya lain seperti pemandu kereta, lori dan penunggang motosikal juga menyumbang kepada risiko.
Terdapat kes di mana bas terpaksa membrek secara mengejut atau mengubah haluan secara mendadak disebabkan tindakan berbahaya pengguna lain.
Semua pengguna jalan raya harus sedar bahawa mereka berkongsi jalan dengan pelbagai jenis kenderaan, termasuk bas yang membawa puluhan nyawa.
Dalam pada itu, mahasiswa sendiri juga perlu memainkan peranan dalam menjaga keselamatan diri.
Mereka perlu lebih peka, mengetahui identiti pemandu, nombor pendaftaran kenderaan dan laluan perjalanan.
Elakkan menaiki kenderaan pada waktu malam jika tidak perlu, dan segera melaporkan sebarang pemanduan berbahaya kepada pihak berkuasa.
Ibu bapa digalakkan untuk sentiasa berhubung dengan anak-anak semasa perjalanan, dan segera bertindak sekiranya ada perkara mencurigakan dilaporkan.
Hubungi pihak universiti atau pihak berkuasa sekiranya perlu. Apa yang penting sekarang ialah tindakan yang menyeluruh.
Dasar keselamatan, pemantauan dan pendidikan mesti digerakkan secara serius dan berterusan.
Insiden kemalangan yang meragut nyawa mahasiswa baru-baru ini seharusnya menjadi satu amaran besar – bahawa kita tidak boleh menunggu satu lagi tragedi berlaku sebelum bertindak.
Pelajar adalah aset negara. Jika keselamatan mereka terus diabaikan, bukan sahaja nyawa mereka terancam, malah kepercayaan terhadap sistem pendidikan dan pengangkutan kita juga akan terjejas.
Jangan sampai satu hari nanti kita hanya mampu berkata, “kalaulah kami bertindak lebih awal.” – Oleh NURUL ATHIRAH AZRI (USIM)/Edisi 9

