PROGRAM Kempen Internet Selamat@Bazar Ramadan anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang dilaksanakan serentak di 19 lokasi bazar Ramadan di seluruh negara baru-baru ini menerima sambutan amat menggalakkan daripada orang ramai.
MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan, kehadiran pengunjung terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk keluarga, golongan belia serta peniaga bazar yang mengambil peluang mendapatkan pendedahan mengenai amalan penggunaan internet secara selamat.
Menurut kenyataan itu, sepanjang penganjuran program berkenaan, para pengunjung dilihat aktif berinteraksi di reruai kempen dengan mendapatkan maklumat berkaitan keselamatan siber, menyertai sesi penerangan selain mengambil bahan informasi yang disediakan.
“Sambutan positif ini mencerminkan peningkatan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan keselamatan digital, khususnya ketika aktiviti dalam talian seperti pembelian dan urusan kewangan semakin rancak sepanjang bulan Ramadan,” menurut kenyataan tersebut.
Tambah MCMC, keadaan itu sekali gus memperkukuh matlamat kempen berkenaan dalam memperkasa orang ramai dengan pengetahuan serta amalan penggunaan internet secara selamat dalam kehidupan seharian.
Dalam pada itu, hampir 10,000 Kit Ramadan yang mengandungi risalah maklumat kempen, satu pek kurma, sebotol air mineral serta butang lencana telah diedarkan kepada pengunjung bazar di 19 lokasi di seluruh negara.
Antara pengisian utama program termasuk sesi interaktif keselamatan internet, demonstrasi pengaktifan kawalan ibu bapa, pendedahan mengenai ancaman penipuan dalam talian, salah guna media sosial serta langkah pencegahan jenayah siber.
MCMC turut memaklumkan bahawa hampir 1,000 pengunjung telah mendaftar sebagai Wira Internet Selamat sepanjang penganjuran kempen tersebut.
Menurut kenyataan itu lagi, kejayaan pelaksanaan program berkenaan turut disokong oleh mobilisasi tenaga kerja MCMC di seluruh negara bersama petugas daripada Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).
Program berkenaan turut dimeriahkan dengan kehadiran Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil di IWK Ecopark, Pantai Dalam manakala Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching hadir di Bazar Ramadan Temenggong, Kulai, Johor.
Sementara itu, Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin turut mencemar duli dan diberikan penerangan mengenai Kempen Internet Selamat ketika menghadiri program Santuni Bazar Ramadan di Bazar Ramadan Stadium Shah Alam, Seksyen 13.
MCMC menegaskan komitmennya untuk terus memastikan persekitaran digital negara kekal selamat, berintegriti dan dipercayai selaras dengan aspirasi kerajaan dalam membangunkan ekosistem komunikasi dan multimedia yang mampan serta berdaya tahan.

