MALAYSIA mensasarkan nilai jualan sebanyak RM80 juta menerusi penyertaan pada Pameran Makanan dana Minuman (Foodex) 2026 di Tokyo, Jepun.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Steven Sim berkata, sasaran itu disandarkan kepada 31 syarikat dan tiga koperasi yang menyertai pameran antarabangsa itu yang berlangsung dari 10 hingga 13 Mac.
Beliau berkata, Jepun merupakan antara pasaran premium dunia yang menuntut standard yang berkualiti tinggi.
“Kejayaan menembusi pasaran ini akan meningkatkan kredibiliti serta daya saing produk Malaysia di peringkat global,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Beliau menambah, penyertaan di Foodex Jepun 2026 juga selari dengan strategi ABCD KUSKOP, iaitu Anjakan Produktiviti, Birokrasi Dipermudah, Capaian Modal dan Daya Akses Pasaran yang menjadi kerangka utama kementerian dalam memperkasa usahawan tempatan.
Selain menyertai pameran, delegasi yang diketuai Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud bersama agensi di bawah kementerian termasuk SME Corp. Malaysia, Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia turut dijadual mengadakan sesi pertemuan bersama Setiausaha Agung ASEAN-Japan Centre (AJC), Dr. Hirabayashi Kunihiko.
Beliau berkata, pertemuan itu bertujuan m meneroka potensi kerjasama strategik dua hala di antara Malaysia dan Jepun pada masa hadapan.
“Beberapa sesi libat urus bersama pemain industri global turut dilaksanakan bagi memperluas jaringan perniagaan usahawan Malaysia,” katanya.
Untuk rekod Foodex Jepun 2026 merupakan pameran perdagangan makanan dan minuman terbesar di Asia, menghimpunkan lebih 3,000 pempamer dari 80 negara pada edisi tahun ini.
Misi perdagangan tersebut turut disokong oleh agensi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA). — Edisi 9

