SEBANYAK RM253.37 juta Tabung Modal Pusingan (TMP) telah diluluskan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) kepada 150 buah koperasi di seluruh negara sejak Januari sehingga bulan ini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedict berkata, dalam tempoh yang sama SKM turut meluluskan sebanyak RM12.23 juta dalam bentuk geran kepada 155 koperasi.
“KUSKOP melalui agensi-agensi kita seperti SKM, akan terus komited untuk membantu gerakan koperasi bagi memastikan koperasi di seluruh negara ini memberi sumbangan kepada aktiviti ekonomi negara.
“Program-program pembiayaan ini akan dilanjutkan pada tahun akan datang. Dana tambahan di bawah Belanjawan 2025 sedang dimuktamadkan dan diharap dapat terus mengangkat gerakan koperasi pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Ladang MOCCIS Sdn. Bhd. dan Perasmian Dē 1 MOCCIS Banquet Hall di Teluk Intan, Perak, semalam.
Mengenai cadangan pindaan Akta Koperasi, Ewon berkata, KUSKOP sedang menjalankan libat urus melibatkan pelbagai agensi kerajaan bagi membincangkan perkara itu.
“Institut Koperasi Malaysia (IKMa) telah menjalankan kajian terperinci berkaitan pindaan ini dan hasilnya turut dibincangkan dalam Kongres Koperasi Kebangsaan pada Julai lepas,” katanya.
Katanya, KUSKOP kini dalam peringkat akhir memuktamadkan dasar-dasar penting berkaitan pindaan Akta Koperasi sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri.
Jelas beliau, ini diikuti dengan sesi libat urus bersama gerakan koperasi dan ahli Parlimen yang akan dijalankan bagi memastikan penyediaan draf pindaan ini lebih menyeluruh.
“Saya mensasarkan pembentangan cadangan dasar kepada kabinet pada penghujung tahun ini, sebelum ia diangkat ke Parlimen untuk kelulusan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ewon berkata KUSKOP mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan (MoF) berkaitan cadangan pengecualian cukai bagi perbelanjaan mesyuarat agung ke atas pertubuhan koperasi di negara ini oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Kementerian sedang bekerjasama dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk meneliti keperluan pengecualian cukai tertentu bagi perbelanjaan yang diluluskan oleh mesyuarat agung koperasi.
“Pendekatan ini penting bagi memastikan koperasi dapat terus berperanan dalam membantu pendidikan dan pembangunan komuniti tanpa dibebani cukai yang berlebihan.
“Walaupun cadangan pengecualian cukai ini perlu mengambil kira penjanaan hasil negara, saya yakin penyelesaian yang adil dapat dicapai,” katanya.
Ewon berkata, kooperasi bukan sahaja menyumbang kepada pendapatan negara melalui pembayaran cukai tetapi juga melalui caruman kepada Kumpulan Wang Amanah yang digunakan untuk pembangunan sektor tersebut. – Edisi 9