Tuesday, July 21, 2026

Bukan masa sesuai laksanakan GST – Steven Sim

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

CUKAI Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak sesuai untuk dilaksanakan semula dalam masa sekarang kerana negara kini dalam tempoh pemulihan pasca pandemik.

Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim Chee Keong berkata, cukai tersebut juga akan membebankan golongan berpendapatan rendah.

“Mungkin ada yang kata GST ada kebaikannya, tetapi mengikut kajian golongan berpendapatan rendah mengalami kos pembayaran cukai lebih tinggi mengikut nisbah pendapatan mereka.

“Jadi cukai ini dah pun melalui dapatan-dapatan, golongan pemikir dan sebagainya, terbukti membebankan golongan pendapatan rendah berbanding golongan berpendapatan tinggi.

“Justeru kita perlu meneliti suatu masa yang sesuai dengan masa kini dalam tempoh pemulihan pasca pandemik. Memang belum lagi masa untuk pertimbangkan pelaksanaan GST,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Kewangan 2023 di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas persoalan yang dibangkitkan Senator Datuk Armand Azha Abu Hanifah yang menyatakan kerajaan perlu ada mekanisme terbaik dalam menyelesaikan masalah pungutan cukai kerana dilihat cara hari ini membebankan rakyat.

Kata Armand Azha, dengan melihat cukai GST yang pernah dilaksanakan sebelum ini, berbilion kutipan cukai dapat dibuat dengan lebih telus berbanding dengan keadaan hari ini.

Bulan lalu,  Timbalan Menteri Kewangan, Ahmad Maslan dilaporkan berkata, Kerajaan belum “menoktahkan” kemungkinan pelaksanaan semula GST pada masa akan datang.

Ujar Ahmad Maslan, kerajaan masih mengkaji impak pelaksanaan GST dalam situasi ekonomi semasa dan menilai waktu sesuai untuk diperkenalkan semula bagi membantu meningkatkan hasil negara.

Untuk rekod, sebanyak 174 negara di seluruh dunia melaksanakan GST.

-EDISI9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan