SEORANG pentadbir akaun Facebook dihukum penjara 10 bulan dan denda sebanyak RM50,000 kerana didapati bersalah memuat naik komen bersifat jelik melampau dan menyinggung sensitiviti agama Islam berhubung kematian mantan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Tertuduh, John Mule anak Alai, 48, dijatuhi hukuman tersebut oleh Mahkamah Sesyen Miri, Sarawak hari ini selepas didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].
Menurut kenyataan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), tertuduh telah didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi secara tidak wajar apabila memuat naik penghantaran komunikasi yang bersifat jelik melampau dengan niat untuk mengganggu mana-mana orang.
MCMC berkata, tertuduh selaku pentadbir akaun Facebook “Bat Tuo Sai”, telah memuat naik komen yang mencerca dan penghinaan terhadap ayat suci al-Quran dan Allahyarham pada hantaran Facebook Astro Awani berkaitan berita kematian Perdana Menteri Kelima itu.
“MCMC memandang serius sebarang bentuk penyalahgunaan platform digital yang boleh menghina agama, mencetuskan kebencian atau menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini,” kata kenyataan MCMC hari ini.
Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya menggunakan media sosial secara berhemah, bertanggungjawab serta mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa.
“Sebarang kandungan yang bersifat menghina, menghasut kebencian atau menyinggung sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja boleh dikenakan tindakan tegas di bawah undang-undang,” katanya. — Edisi 9

