NAIB Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee melahirkan rasa tidak berpuas hati apabila Lembaga Disiplin parti hanya menggantung keahliannya untuk tempoh dua penggal pemilihan.
Ronald berkata, beliau seharusnya dipecat daripada parti itu kerana telah menganjurkan program RESET dan hadir bersama Timbalan Presiden Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Bangkok, Thailand sebelum ini.
“Saya telah menganjurkan program RESET dan juga hadir bersama Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam perjumpaan bersama Timbalan Perdana Menteri di Bangkok.
“Jika benar itu adalah satu kesalahan besar, mengapa tidak dipecat?,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Berdasarkan notis penggantungan keahlian yang ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan, tindakan penggantungan itu disebabkan Ahli Parlimen Beluran tersebut melanggar Fasal 9.1.4 perlembagaan dan kod etika parti.
Ekoran itu, Ronald digantung selama dua penggal pemilihan parti berkuat kuasa mulai tarikh surat tersebut dikeluarkan iaitu hari ini.
Ronald berkata, keputusan itu menguatkan lagi persepsi bahawa Lembaga Disiplin parti kini digunakan sebagai alat politik untuk melindungi presiden dan kelompok kecil di sekelilingnya.
“Apatah lagi lembaga ini dipengerusikan oleh individu yang mempunyai hubungan keluarga dengan kepimpinan tertinggi parti,” katanya.
Beliau turut kecewa kerana sejak dua tahun kebelakangan ini, hala tuju Bersatu semakin jelas tersasar apabila segala tindakan seolah-olah tertumpu kepada satu matlamat iaitu mengangkat Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai poster boy dan calon Perdana Menteri ke-11.
“Sesiapa yang dilihat berpotensi menjadi penghalang kepada agenda ini akan disingkirkan.
“Lembaga Disiplin dijadikan alat paling ampuh untuk melaksanakan tindakan tersebut.
“Inilah juga yang berlaku terhadap beberapa pemimpin parti sebelum ini, termasuk Datuk Seri Hamzah,” katanya.
Beliau berkata, parti itu kini hanya tinggal puak yang tunduk dan sentiasa berkata “ya” kepada Presiden parti.
Mereka ialah puak yang dilantik oleh Presiden serta puak yang kalah dalam pemilihan tetapi dimenangkan oleh presiden manakala sebahagian lagi dijanjikan watikah calon.
“Saya menyertai parti ini dahulu kerana percaya ia adalah wadah perjuangan, bukan alat untuk memenuhi cita-cita politik individu.
“Namun apa yang kita lihat hari ini amat jauh daripada semangat tersebut.
“Saya tidak akan merayu. Anggap saja tempoh rayuan ini telah tamat,” katanya. — Edisi 9

