IBU mentua kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Allahyarhamah Jamaliah Ngah, telah kembali ke rahmatullah pada kira-kira 5.30 pagi tadi.
Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Ismail Sabri menerusi satu kenyataan dalam media sosial, yang menyifatkan pemergian Allahyarhamah sebagai kehilangan besar kepada beliau dan seluruh ahli keluarga.
Menurut beliau, Allahyarhamah merupakan seorang insan yang sangat dekat di hati keluarga serta dikenang dengan keperibadian yang lembut dan penuh kasih sayang.
“Allahyarhamah begitu dekat di hati kami sekeluarga. Keperibadiannya yang lembut serta senyuman yang sentiasa terukir di wajahnya akan sentiasa terpahat sebagai kenangan indah buat kami semua,” katanya hari ini.
Ismail Sabri turut memohon agar orang ramai mendoakan kesejahteraan roh Allahyarhamah agar dicucuri rahmat oleh Allah SWT.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarhamah dan menempatkannya dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh,” ujarnya.
Menurut beliau, jenazah Allahyarhamah telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Kariah, Batu 10 Cheras, di Selangor.
Terdahulu, berita pemergian Allahyarhamah turut menerima ucapan takziah daripada kenalan, sahabat serta orang ramai yang mendoakan agar keluarga Ismail Sabri diberi ketabahan menghadapi kehilangan tersebut.
Antara yang menyampaikan ucapan takziah termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau mendoakan agar seluruh keluarga besar bekas Perdana Menteri iti dikurniakan ketabahan, kekuatan serta kesabaran dalam menghadapi saat yang amat sukar ini.
“Semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa serta ditempatkan dalam kalangan para solihin,” katanya. — Edisi 9

