Tuesday, July 21, 2026

Kasih Diraja santuni anak-anak YKM, ceriakan persiapan Syawal

YKM turut menyalurkan bantuan kewangan kepada 574 penerima beragama Islam di seluruh negara melibatkan peruntukan keseluruhan RM200,000 bermula 11 Mac ini.

Mesti Baca

SERAMAI 102 insan istimewa di bawah naungan Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) ceria menyambut kehadiran Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan menyantuni mereka sempena Program Membeli-Belah Hari Raya Aidilfitri di Parkson East Coast Mall, Kuantan, semalam.

Keberangkatan baginda bersama Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah nyata membawa kegembiraan kepada anak-anak YKM yang hadir dari seluruh negeri ini.

Pengerusi YKM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program tahunan YKM itu memberi peluang kepada anak-anak berkenaan memilih sendiri kelengkapan pakaian Aidilfitri, sekali gus memberi pengalaman bermakna menjelang sambutan Syawal.

Beliau yang juga mantan Perdana Menteri berkata, bagi sebahagian anak-anak tersebut, program berkenaan bukan sekadar membeli pakaian baharu.

Sebaliknya,  melambangkan kasih sayang dan perhatian yang mendalam khususnya daripada institusi diraja Pahang.

Al-Sultan Abdullah dan Tengku Hassanal berkenan menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim YKM.

“Keprihatinan Kebawah Duli Tuanku mencerminkan sifat seorang Raja yang berjiwa rakyat dan sentiasa prihatin terhadap kebajikan mereka yang memerlukan pembelaan,” katanya.

Program membeli-belah itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guai merangkap Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, Datuk Sabariah Saidin.

Anak-anak YKM tersebut kemudiannya diraikan dalam Majlis Berbuka Puasa bersama Tuanku dan keluarga diraja di Hotel Grand DarulMakmur.

Ismail Sabri berkata, majlis berkenaan menjadi simbol kasih sayang, solidariti dan harapan kepada anak-anak yang diuji dengan kehilangan, namun terus menerima perhatian dan pembelaan berterusan.

Sementara itu beliau berkata, menjelang Aidilfitri, YKM turut menyalurkan bantuan kewangan kepada 574 penerima beragama Islam di seluruh negara.

Jelas beliau, bantuan tersebut melibatkan peruntukan keseluruhan RM200,000 yang akan dikreditkan ke akaun masing-masing bermula 11 Mac ini. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan