BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan bahawa beliau tidak tahu menahu tentang kewujudkan Parti Keluarga Malaysia yang dikaitkan dengan Timbalan Presiden Bersatu yang dipecat, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Beliau menegaskan, jika benar wujudnya parti tersebut ia jelas tiada kaitan sama sekali dengan gagasan Keluarga Malaysia atau Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) yang diasaskan beliau sebelum ini.
“Ini baru saya dengar ada Parti Keluarga Malaysia. Kalau betul ia tiada kiatan dengan falsafah Keluarga Malaysia yang diperkenalkan semasa saya menjadi Perdana Menteri dahulu.
“Mungkin nama Parti Keluarga Malaysia ini kalau ada agak mengelirukan. Takut ada banyak lagi nama yang akan guna nama yang sama.
“Perkara ini akan menyusahkan pihak kami sebab YKM juga menerima sumbangan orang ramai untuk membantu anak-anak yatim di bawah YKM.
“Bila terkeliru ramai orang tak berani nak menyumbang. Takut scammer (penipu) yang menggunakan nama sama,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis berbuka puasa di Kuala Lumpur hari ini.
Sebelum ini media melaporkan, Hamzah yang juga Ketua Pembangkang akan memimpin Parti Keluarga Malaysia bagi meneruskan kelangsungan perjuangan politiknya selepas dipecat daripada Bersatu bulan lalu.
Media yang memetik pengasas parti tersebut, Khairi Jaya sebagai berkata, sehingga kini usaha bagi membuka laluan terhadap Hamzah memimpin parti terbabit hampir pasti.
Ismail Sabri yang juga Pengerusi YKM berkata, apabila timbul isu seperti ini tidak mustahil untuk beliau mendaftarkan nama Keluarga Malaysia sebagai hak cipta.
Pada masa kini beliau tidak dapat melarang mana-mana pihak menggunakan nama Keluarga Malaysia kerana nama tersebut belum didaftarkan sebagai hak cipta.
“Nama Keluarga Malaysia dah lama kita guna sewaktu pentadbiran saya dan ada pula YKM. Kalau ikuat Akta Syarikat tak boleh guna yg sama.
“Oleh kerana nama ini lebih awal kita guna, kalau ada nama parti Keluarga Malaysia sepatutnya tidak boleh didaftarkan. Saya harap ROS melihat perkara ini,” katanya. — Edisi 9

