UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Proton Holdings Berhad (Proton) meneroka kerjasama strategik bagi mempromosikan ekosistem pengetahuan Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) serta teknologi Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) di negara ini.
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, fokus usaha itu adalah terhadap potensi sinergi antara industri automotif nasional, selaras dengan komitmen UPSI untuk mengintegrasikan teknologi hijau dalam kurikulum serta ekosistem universiti.
Menurut beliau, antara objektif utama usahasama yang dibincangkan ialah cadangan mewujudkan Pusat Pembelajaran dan Demonstrasi EV pertama di institusi pendidikan tinggi di Malaysia, pembangunan modul pendidikan asas BEV, penyediaan latihan praktikal berkaitan teknologi e.MAS, serta peningkatan kesedaran awam terhadap teknologi BEV nasional.
“UPSI melihat kunjungan ini sebagai satu langkah signifikan dalam merapatkan jurang antara industri dan akademia. Teknologi BEV dan NEV bukan lagi satu pilihan masa depan, tetapi keperluan semasa yang perlu difahami dan dikuasai oleh generasi muda,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menerima kunjungan pengurusan tertinggi Proton diketuai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Rashid Musa.
Md Amin berkata, UPSI komited untuk memainkan peranan aktif dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja celik teknologi, malah mempunyai kesedaran tinggi terhadap kelestarian alam sekitar.
“Sebagai universiti yang berteraskan pendidikan, UPSI bukan sahaja mahu memperkenalkan teknologi EV dalam bilik kuliah, tetapi juga menyediakan pengalaman pembelajaran yang bersifat praktikal, relevan dan berimpak tinggi kepada pelajar serta komuniti,” ujar beliau.
Sementara itu,Abdul Rashid berkata, pihaknya melihat institusi pendidikan tinggi sebagai rakan strategik penting dalam mempercepat pembangunan ekosistem mobiliti elektrik negara.
Katanya, pendekatan kolaboratif antara industri dan universiti mampu melahirkan tenaga kerja yang lebih bersedia menghadapi perubahan landskap teknologi global.
“Transformasi industri automotif ke arah BEV memerlukan sokongan kukuh daripada sektor pendidikan. Kerjasama dengan UPSI mencerminkan komitmen Proton untuk bukan sahaja membangunkan teknologi, tetapi juga memperkasa ilmu dan kefahaman masyarakat terhadap teknologi kenderaan elektrik,” jelas beliau.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak turut membincangkan cadangan mewujudkan konsep Industri dalam Kampus dan Proton Training Center @ UPSI sebagai platform kolaborasi jangka panjang.
Cadangan pengisian kerjasama merangkumi pembangunan zon pameran dan promosi teknologi e.MAS, penubuhan Pusat Latihan & Kesedaran Komuniti EV, pelaksanaan program latihan pelatih oleh felo perunding Proton melibatkan aspek keselamatan, diagnostik dan perkhidmatan selepas jualan, serta penubuhan pusat latihan bagi program peningkatan kemahiran dan latihan semula.
“Kami percaya pendekatan Industri dalam Kampus ini akan membuka ruang pembelajaran baharu, memperkukuh kebolehpasaran graduan serta menyokong aspirasi negara dalam memperkasa teknologi hijau dan mobiliti masa depan,” katanya.

