Tuesday, July 21, 2026

MARA bantu dua beradik terselamat dalam kebakaran di Raub

Dalam kejadian yang memusnahkan seratus peratus rumah tersebut, dua ahli keluarga terbabit iaitu kakak dan adik mangsa terselamat kerana tinggal di asrama.

Mesti Baca

MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) akan membantu ahli keluarga mangsa kebakaran di Kampung Pamah Kulat, Jalan Ulu Dong, Raub, Pahang yang meragut lima sekeluarga awal pagi tadi.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau amat dukacita dan terkesan dengan tragedi tersebut yang turut meragut nyawa seorang pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Ruby Adira Batreisya Mohd Alawi yang sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dalam kejadian yang memusnahkan seratus peratus rumah tersebut, dua ahli keluarga terbabit iaitu kakak dan adik mangsa terselamat kerana tinggal di asrama.

“Pastinya ujian ini terlalu berat untuk dipikul, kehilangan insan tersayang dalam sekelip mata, apatah lagi melibatkan hampir seluruh ahli keluarga.

“MARA amat berdukacita atas insiden yang menyayat hati ini. Insya-Allah, pihak MARA akan menghulurkan bantuan sewajarnya serta memastikan kebajikan ahli keluarga yang ditinggalkan terus diberi perhatian dan sokongan yang diperlukan dalam tempoh sukar ini,” kata beliau hari ini.

Media melaporkan lima sekeluarga ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Pamah Kulat di Raub, Pahang awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Raub Supt Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 3.35 pagi.

“Sejurus pemadaman kita menjumpai kesemua mangsa di lokasi kejadian, “ katanya.

Beliau berkata, mereka yang terkorban ialah Mohd Awi Muhammad, 56; isterinya Zaleha Adam @ Ibrahim, 44 serta tiga anak mereka iaitu Ruby Adira Batrisya Mohd Alawi, 17; Ruby Adlina Banin Mohd Alawi, 14 dan Ruby Azyan Barizah Mohd Alawi, 10.

Dua anak mangsa yang terselamat kerana tinggal di asrama ialah Ruby Adalia Balqis Mohd Alawi, 19, yang merupakan pelajar Kolej Matrikulasi Gambang, Kuantan dan Ahmad Balia Murqam Mohd Alawi, 15, yang belajar di SMK Dong. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan