Monday, July 20, 2026

TH perkasa persediaan jemaah melalui program #menujuistitoah

Program tersebut memberi penekanan kepada kesiapsiagaan menyeluruh merangkumi aspek kewangan, rohani, fizikal dan mental.

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Berkecimpung lebih 30 tahun dalam dunia kewartawanan bersama media arus perdana. Keutamaan dalam penulisan berkaitan politik, sukan dan teknologi maklumat.

LEMBAGA Tabung Haji (TH) memperkenalkan program persiapan haji berstruktur dikenali sebagai #menujuistitoah bagi membantu lebih ramai rakyat Malaysia membuat persediaan awal sebelum menunaikan ibadah haji.

Inisiatif pendidikan dan penglibatan digital di peringkat nasional itu dilaksanakan susulan kelancaran proses tawaran haji bagi musim 1447H/2026M, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan TH dalam memastikan pendeposit bersedia apabila menerima panggilan menunaikan rukun Islam kelima tersebut.

Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain berkata, program tersebut memberi penekanan kepada kesiapsiagaan menyeluruh merangkumi aspek kewangan, rohani, fizikal dan mental.

Menurut beliau, ibadah haji merupakan impian sekali seumur hidup bagi umat Islam yang memerlukan perancangan rapi serta persediaan awal yang tersusun.

“Misi utama TH adalah untuk membantu para pendeposit merealisasi impian haji mereka. Ibadah yang merupakan rukun Islam yang kelima ini menjadi impian sekali seumur hidup yang memerlukan niat yang tulus dan persediaan yang rapi.

“Kami percaya kami dapat melakukan sebaik mungkin untuk membantu dan berhasrat menjadikan matlamat ini lebih mudah, lebih ringkas dan lebih lancar melalui pendidikan, teknologi digital serta perkhidmatan yang diperbaharui,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, beberapa pembaharuan turut dilaksanakan termasuk penambahbaikan laman sesawang serta platform digital TH agar lebih mesra pengguna.

Katanya, pengenalan Kalkulator Simpanan Haji juga bertujuan membantu orang ramai merancang simpanan secara lebih realistik dan sistematik selaras dengan peningkatan kos menunaikan ibadah tersebut.

“Perancangan awal amat penting ketika ini memandangkan kos haji semakin meningkat selain tempoh menunggu giliran yang semakin panjang,” ujarnya.

Menurut beliau, kajian terkini mendapati masih terdapat sebahagian umat Islam di negara ini belum memulakan simpanan haji secara berstruktur, sekali gus menunjukkan keperluan kepada pendekatan pendidikan kewangan yang lebih menyeluruh.

Sejak lebih enam dekad lalu, TH memainkan peranan penting dalam membantu rakyat Malaysia menunaikan ibadah haji, dan usaha pembaharuan yang dilaksanakan kini bertujuan memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan jemaah.

Pendekatan baharu itu juga selaras dengan prinsip Maqasid Syariah yang menekankan kepentingan pendeposit sebagai keutamaan utama organisasi. – Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan